Kean Chye, pejuang identiti dan jiwa politik sebagai anak Malaya

Iklan
Pada usia mencecah 100 tahun, Kean Chye (kanan) tetap mengingati peristiwa yang dilaluinya. Daim yang mengenalinya sejak tahun 1960-an menziarahi beliau di kediamannya di Georgetown pada Jumaat lalu.

BEKAS aktivis politik zaman sebelum merdeka dan peguam terkenal, Lim Kean Chye menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada Jumaat lalu dengan ingatannya yang masih segar terhadap peristiwa-peristiwa menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan perkembangan politik Singapura.

Kean Chye dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1919 dalam sebuah keluarga ternama di negeri ini.

Iklan
Iklan

Bapanya, mendiang Lim Cheng Ean, ialah Ahli Majlis Perundangan Pulau Pinang pada tahun 1934 dan kakaknya ialah bekas diplomat terkenal Malaysia, mendiang Tan Sri Lim Phaik Gan.

Bagaimanapun, selepas menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Cambridge, United Kingdom, Kean Chye, seorang intelektual yang dianggap aktivis radikal berhaluan kiri, menyertai Anti-British League (ABL) dan terlibat sebagai antara pengasas Malayan Democratic Union (MDU) pada tahun 1945.

Iklan

"Pada zaman penjajahan, saya melihat sendiri betapa hinanya pegawai-pegawai kolonial British memandang dan melayan anak tempatan.

"Walaupun bapa saya seorang Ahli Majlis Perundangan yang dianugerahkan pingat Order of the British Empire (OBE), jiwa saya memberontak. Saya bencikan penjajahan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini Jumaat lalu.

Iklan

Kean Chye ialah bendahari MDU, parti politik pertama di Singapura yang dibubarkan apabila darurat diisytiharkan dan pada zaman darurat, nama Kean Chye berada dalam senarai pemerhatian pihak berkuasa British.

Bagi memecahkan pengaruh kesatuan sekerja dan gerakan yang bersimpati dengan sosialisme dan komunisme, penjajah Inggeris pada tahun 1951 menangkap pemimpin berhaluan kiri di Singapura waktu itu, antaranya John Eber, PV Sarma, Devan Nair dan A Samad Ismail.

Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail, Timbalan Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu, pada tahun-tahun 1940-an dan 1950-an membina namanya sebagai antara tokoh penting gerakan menentang penjajahan.

Untuk mengelak ditangkap tanpa bicara seperti apa yang terjadi ke atas Samad, Eber, Sarma dan Devan Nair, Kean Chye menyusup lari ke Medan, Sumatera sebelum mengembara ke Jawa.

"Dari Jawa, saya naik kapal laut untuk ke Hong Kong, tetapi tersadai di Canton, China (kini dikenali sebagai Guangzhou),” kata Kean Chye.

Di China, Kean Chye dikategorikan sebagai pelarian politik dari Malaya. Kean Chye yakin dialah orang pertama dari Malaya yang mendapat taraf suaka politik itu. Katanya,"Hidup sangat susah di China pada masa itu, saya hanya makan sebiji pau sekali sehari.

Di sana, dia yang tidak mahir berbahasa Mandarin mula belajar bahasa itu pada usia 30-an

"Antaranya saya menjadi penterjemah. Bayaran kerja itu adalah sesuap makanan,” cerita Kean Chye.

Dia tinggal di Beijing sehingga Julai 1957, dan setahun kemudian pada September 1958, Kean Chye kembali ke Singapura.

Apabila sampai di Singapura, dia ditangkap dan dipenjarakan selama tiga bulan.

Bagaimanapun, Kean Chye kemudian dibebaskan dengan syarat dia kena berjanji untuk tidak lagi terlibat dalam politik.

Dalam satu ucapan pada tahun 1958, sebelum mendiang Lee Kuan Yew menjadi Ketua Menteri Singapura, pemimpin ulung Singapura itu membangkitkan nama Kean Chye dan misteri penahanannya.

Ucapan tersebut menunjukkan sedikit sebanyak pengaruh Kean Chye pada zaman itu.

"Mengapa beri Lim Kean Chye permit masuk ke Singapura, kemudian tahan dia apabila dia tiba dengan pemit masuk itu,” komplen Kuan Yew ketika itu.

Kuan Yew, yang juga lulusan undang-undang Universiti Cambridge, muda empat tahun daripada Kean Chye.

Dalam gerakan politik kiri, Kean Chye menjalinkan hubungan dengan tokoh-tokoh nasionalis Melayu seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam dan Said Zahari – ketiga-tiganya pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Malaysia dan Singapura.

Terseksa

Orang yang paling terseksa ialah Allahyarham Said, Pengarang Utusan Melayu, yang dipenjarakan tanpa bicara di Singapura oleh kerajaan Lee Kuan Yew selama 17 tahun.

Kean Chye amat tersinggung jika ada pihak yang melebih-lebihkan penjajah British.

Dalam satu video yang dirakamkan bagi mengingati erti kemerdekaan 1957, Kean Chye berkata,"Kita masih memuji-muji pegawai British, askar British yang berjuang tapi apakah yang mereka perjuangkan? Mereka berjuang untuk getah dan bijih timah (hasil bumi negara ini). Bukan untuk kita. Kita bercakap macam kita gurkha, kita bukan gurkha.”

Kean Chye ialah seorang peguam yang dihormati dan terkenal dengan prinsipnya yang tegas. Pada tahun 1960-an, dia menubuhkan firma guamannya di Ipoh, Perak selain menjadi peguam di Pulau Pinang.

Salah seorang Timbalan Pendakwa Raya di Ipoh pada tahun 1960-an ialah Tun Dr Daim Zainuddin, seorang tokoh undang-undang yang kemudian menjadi ahli perniagaan, teknokrat, ahli politik, menteri dan negarawan Malaysia. Sejak tahun 1960-an lagi, mereka telah menjalinkan persabahatan.

Daim, 81, turut menziarahi Kean Chye di kediamannya di sini Jumaat lalu untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir ke-100.

Daim yang datang dari Kuala Lumpur sempat berseloroh mengatakan Kean Chye patut berhenti menghisap pipe, iaitu salah satu kegemaran Kean Chye yang diteruskan walaupun ketika dia mencapai usia satu abad.

Kean Chye

Menurut isterinya, Kean Chye pernah berhenti menghisap pipe pada tahun 1973, tetapi sekali-sekala apabila meraikan sesuatu, dia akan menghisap pipe lebih banyak daripada biasa.

Pada petang Jumaat lalu, ketika menyambut Daim yang membawakannya kek hari lahir, Kean Chye jelas amat gembira. Maka, makin banyaklah asap tembakau keluar berkepul-kepul daripada pipenya.

Sambil duduk di atas kerusi rodanya, Kean Chye bersemangat bercerita tentang peristiwa besar dan dramatik pada zaman mudanya – zaman dia memperjuangkan identiti dan jiwa politik sebagai anak Malaya.

Bapanya, Cheng Ean meninggal dunia dalam tahun 1987 pada usia 98 tahun manakala kakaknya, Phaik Gan yang lebih dikenali sebagai PG Lim meninggal dunia pada tahun 2013 ketika berumur 97 tahun.

Mereka menjadi antara tokoh dari Pulau Pinang dan keluarga Cina Negeri Selat yang memberi sumbangan besar kepada bidang perundangan dan diplomatik.

Phaik Gan pernah menjadi Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York dan Duta Malaysia ke Yugoslavia, Austria dan Komuniti Ekonomi Eropah (kini Kesatuan Eropah).

Kean Chye bertuah kerana dianugerahkan umur yang amat panjang untuk menyaksikan selama satu abad proses penggantian pemimpin dan landskap pembinaan bangsa di Malaysia dan Singapura.

Bagaimanapun dalam tempoh yang begitu lama itu, dia tetap setia, kekal dan konsisten dengan idealismenya.