SHAH ALAM - Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada pagi Sabtu menyajikan pelbagai aktiviti tradisional yang menggamit memori.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya), Persatuan Legasi Cinta Seni dan Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) itu dimulakan dengan sesi pendaftaran, zumba dan pertandingan mewarna.
Penasihat Legasi Cinta Seni, Muhammad Azizan Ahmad Mahyuddin berkata, sambutan amat menggalakkan dan aktiviti menarik yang disediakan dilihat menarik perhatian pengunjung seperti permainan tradisional iaitu lompat tali getah, sepak bulu ayam, lempar gelung, menyumpit
dan lain lain.
"Lebih daripada lapan gerai yang dibuka hari ini termasuk jualan makanan, pemeriksaan kesihatan percuma dari PERKESO, pameran dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Proton serta kraf batik.
"Harap lebih ramai orang di sekitar Shah Alam untuk hadir memeriahkan program ini yang akan berlangsung hingga 11 malam nanti, persembahan teater tradisional akan bermula pada jam 8.30 malam,” katanya.
Sementara itu, penasihat Mia and Crew, Azman Awang, 43, mengucapkan terima kasih atas jemputan bagi mereka mengetuai aktiviti zumba dan mengharapkan program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan hubungan rakyat Malaysia pelbagai kaum.
Dalam pada itu, pertandingan mewarna turut dijalankan serentak melibatkan seramai 100 peserta, masing-masing 50 orang bagi dua kategori iaitu kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun dan tujuh hingga sembilan tahun.
Suri rumah, G Arunah berkata, anak-anaknya mempunyai minat dalam aktiviti mewarna dan dengan menyertai pertandingan yang diadakan ini adalah sebagai tanda sokongannya kepada mereka.
"Mereka memang suka mewarna, jadi saya bawa mereka ke sini dan juga mana-mana pertandingan mewarna untuk mencungkil bakat dan mungkin boleh mencapai ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.
Pemenang pertandingan mewarna bagi tempat pertama, kedua dan ketiga mengikut kategori masing-masing menerima sijil penghargaan dan hadiah berupa wang tunai.
Aktiviti menarik lain adalah di gerai pameran Sumpit Orang Asli Mah Meri dari Pulau Carey yang diuruskan oleh Mahil Anak Dok, 56, yang juga berasal dari perkampungan tersebut.
Menerusi gerai pameran ini, orang ramai berkesempatan untuk belajar cara menyumpit secara percuma menggunakan peralatan disediakan dan memperoleh cenderamata sekiranya berjaya memecahkan belon di papan sasaran.
Orang ramai di sekitar Lembah Klang dijemput hadir untuk terus memeriahkan program yang diadakan terutamanya persembahan teater tradisional yang akan bermula pada jam 8.30 malam in.