KUANTAN - Pas Pahang menolak dakwaan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Muhammad Faiz Na'aman yang menyifatkan parti itu hanya menjadi pak turut dan pelengkap agenda politik Pas.
Ketua Penerangan Pas Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, perkara itu tidak berlaku kerana tiada istilah 'abang besar' dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, semua keputusan bukan ditentukan Pas sebaliknya ia dibuat atas persetujuan bersama antara pimpinan Bersatu dan Gerakan.
"Misalnya di Kelantan dan Terengganu yang menggunakan logo Pas namun ada pimpinan Bersatu diberi peluang bertanding beberapa kerusi di negeri tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Mohd Tarmizi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching berkata, atas kesepakatan bersama, selain menang besar di Terengganu, Kelantan dan Kedah, PN juga berjaya menambah kerusi di Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.
"Ia menunjukkan PN diterima rakyat cuma nasib menyebelahi Pakatan Harapan dan BN.
"Begitu juga di Parlimen, Pas merupakan parti yang paling banyak kerusi tapi dengan kelebihan itu tidak bermakna Bersatu hanya menjadi pak turut kerana sebahagian besar kerusi dimenangi bersama atas logo PN," katanya.
Jelasnya, asas PN adalah untuk menyatukan orang Melayu tanpa memisahkan kaum lain sebab itu parti Gerakan dan Dewan Himpunan Pendokong Pas (DHPP) turut diberi peluang untuk bertanding atas tiket PN.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafie Mustapha berkata, meskipun Pas dilihat lebih dominan berbanding parti lain berikutan jumlah kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya, namun parti itu tidak pernah menunjukkan sikap sebagai 'abang besar'.
"Tidak ada yang dianggap sebagai pak turut kerana apa saja keputusan dibuat oleh Majlis Pimpinan PN dan juga Majlis Presiden.
"Malah setiap keputusan yang dibuat juga adalah mengambil kira kepentingan semua parti sebagai yang bernaung di bawah PN," katanya.
Menurutnya, kenyataan itu ternyata tidak berasas dan ia merupakan satu usaha untuk memburukkan Pas dan menggambarkan tiada fahaman kerjasama yang baik antara parti dalam PN.