PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui sudah menjangkakan keadaan padang baharu Stadium Nasional, Bukit Jalil yang akan rosak selepas pertama kali digunakan dalam aksi Pestabola Merdeka ketika aksi Malaysia menentang India pada Jumaat. Menurutnya, keadaan itu adalah perkara biasa yang akan berlaku untuk padang baharu selain menegaskan padang jenis Zeon Zoysia ini adalah lebih baik daripada padang jenis cow grass.
Malah, beliau percaya padang Stadium Nasional itu akan akan menjadi salah satu padang yang terbaik di rantau Asia Tenggara pada masa akan datang.
Iklan
Iklan
"Bagi saya, apa yang kita lihat pada malam tadi memang biasa berlaku untuk padang yang baharu. Memang perlukan masa dan kami sudah jangka keadaan seperti ini. Saya percaya, semua pihak yang terlibat sedang bekerja keras dari semasa ke semasa. Saya rasa, kita perlukan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan masalah ini.
Dalam aksi di Stadium Nasional itu, Harimau Malaya yang berada di ranking ke-134 dunia berjaya menewaskan India (ranking ke-102 dunia) 4-2. Namun, kemenangan itu dibayangi keadaan padang baharu ditanam rumput Zeon Zoysia yang dilihat tercabut dan rosak sehingga menjejaskan rentak kedua-dua pasukan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perlawanan akhir menentang Tajikistan pada Selasa ini, Pan-gon percaya ia medan terbaik untuk Harimau Malaya membalas dendam ketika tewas di kejohanan King's Cup tahun lalu.
"Kita masih ingat saat itu (di King's Cup), kedua-dua pasukan tidak dapat bermain dengan baik kerana hujan lebat sebelum kita tewas dalam penentuan sepakan penalti.
"Kita mempunyai peluang terbaik untuk ‘balas dendam’ pada perlawanan seterusnya, apatah lagi kita bermain di hadapan penyokong sendiri tapi kita tetap menghormati Tajikistan kerana ranking mereka lebih tinggi daripada kita,” katanya.