SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menubuhkan Tabung Kemanusiaan Palestin bagi menyelaras kutipan dana membantu penduduk negara bergolak berkenaan.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, inisiatif ítu bagi menyelaras semua kutipan dana yang dikumpulkan daripada seluruh masjid dan surau di negeri Selangor.
Menurutnya, ia juga bagi memastikan tiada individu atau pihak yang mengambil kesempatan atas alasan mengutip khairat bagi tujuan manfaat, faedah kepentingan dan pembangunan umat Islam.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak JAIS juga akan menyalur sumbangan menerusi pihak berautoriti yang diiktiraf Majlis Agama Islam Selangor demi memastikan bantuan sampai kepada sasaran.
"Orang awam disaran menyalur derma ke tabung yang disediakan di masjid dan surau atau terus menyumbang ke akaun Maybank Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) menerusi nombor akaun 56210671862, dengan rujukan Pray For Gaza.
"Seluruh masjid dan surau terus diseru membaca doa Qunut Nazilah dan solat hajat mendoakan keselamatan, ketabahan, dan kemenangan perjuangan rakyat Palestin,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Shahzihan berkata, pihaknya turut menyelaras kutipan dana membantu mangsa banjir di Libya serta gempa bumi di Maghribi dan Afghanistan.
"Sumbangan boleh disalur menerusi tabung sama atau ke nombor akaun bank TIJARI,” katanya.