ISKANDAR PUTERI - Polis Johor akan meminta bantuan daripada Bukit Aman serta Polis Antarabangsa (Interpol) dalam usaha membawa pulang seorang lelaki warga Malaysia yang terkandas di Myanmar akibat ditipu sebuah agensi pekerjaan (scammer).Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, lelaki berasal dari Masai, Johor dan berusia 33 tahun itu dipercayai telah mengikut seorang kenalannya ke Pulau Pinang, Rabu lalu.
Bagaimanapun katanya, ketika di Pulau Pinang lelaki berkenaan menyedari dirinya ditipu, namun dia perlu membayar RM72,000 jika mahu pulang ke Johor.
"Lelaki itu tidak dapat membuat bayaran tersebut dan akhirnya dia telah dibawa ke Thailand dan seterusnya ke Myanmar."Keluarga mangsa kemudiannya telah datang membuat laporan setelah dihubungi mangsa dan kita akan cuba minta bantuan bagi membawanya pulang semula ke negara ini," katanya.