KUALA LUMPUR - Peruntukan RM20 juta yang diberikan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam Belanjawan 2024 membuktikan kerajaan amat mengambil berat berhubung isu penipuan dalam talian, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Menerusi catatan di Facebooknya, beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha memantapkan keselamatan siber sementara rakyat perlu meningkatkan kesedaran berhubung isu berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan akan menambah peruntukan kepada NSRC kepada RM20 juta pada tahun depan berbanding RM10 juta sebelum ini, bagi meningkatkan lagi fungsi pusat itu dalam membanteras jenayah scam. Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak ditubuhkan, NSRC telah mengendali lebih 49,000 panggilan dan berjaya membeku sehingga RM60 juta transaksi.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Fahmi berkata, pengumuman mengenai duti hiburan diturunkan kepada sifar bagi artis tempatan dan daripada 25 peratus kepada 10 peratus untuk artis antarabangsa yang membuat persembahan di negara ini menunjukkan pemain industri filem dan muzik tidak dipinggirkan Kerajaan Perpaduan dalam Belanjawan 2024.
"Dalam tempoh 10 bulan di KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital), pelbagai cadangan saya terima, pelbagai masalah saya dengar. Tidak mudah untuk tunaikan semua, tapi saya perlu mulakan.
"Alhamdulillah, permintaan pemain industri seni ditunaikan. Duti hiburan dikecualikan bagi persembahan artis tempatan. Duti hiburan bagi persembahan pentas artis antarabangsa diturunkan kepada 10 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini,” katanya.
Fahmi berkata usaha berterusan akan dilakukan beliau untuk memastikan suara pemain industri seni terus didengari. - Bernama