KUALA LUMPUR - Mahasiswa Progresif Universiti Malaya menuntut penjelasan daripada pihak pentadbiran universiti itu berhubung tindakan menaikkan yuran perkhidmatan secara senyap tanpa sebarang notis dikeluarkan. Presidennya, Nurul Afrina Rosli berkata, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan secara tiba-tiba tanpa sebarang pemberitahuan.
Justeru, pihaknya menggesa agar segala keputusan yang melibatkan hal ehwal mahasiswa perlulah telus tanpa menyelindungi sebarang maklumat yang dapat mengancam kebajikan hal ehwal pelajar.
"Kami menegaskan kebajikan pelajar adalah mustahak dan diletakkan sebagai keutamaan, maka ia tidak boleh sewenang-wenangnya diperkecilkan dek kerakusan pihak atasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, keadaan ini sememangnya menimbulkan satu impresi bahawa pentadbiran kini hanya mengejar keuntungan dan nasib mahasiswa tergadai walaupun tidak sampai setahun mereka bergelar mahasiswa di universiti itu. Mahasiswa Progresif amat kesal dengan tindakan pentadbiran universiti untuk tidak mengeluarkan sebarang notis bagi kenaikan yuran perkhidmatan dan servis ini sekali gus memperdaya pelajar seperti boneka untuk meraih keuntungan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Nurul Afrina berkata, tindakan itu bercanggah dengan jawapan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memberi jaminan bahawa yuran pengajian tidak akan naik serta tidak membebankan pelajar.
"Kali terakhir yuran perkhidmatan dan servis dinaikkan dengan notis rasmi daripada Universiti Malaya adalah pada tahun 2018 apabila pentadbiran UM menaikkan yuran ICT daripada RM50 kepada RM100,” ujarnya.
Nurul Afrina berkata, hasil kajian pihaknya mendapati yuran servis yang merangkumi aspek kesihatan (RM20), servis ICT (RM100), insurans (RM6), perpustakaan (RM100), sukan dan rekreasi (RM10) serta kebajikan (RM5) adalah berjumlah RM241 sama seperti pelajar sesi 2021/2022 dan 2022/2023. Bagaimanapun katanya, yuran servis yang dikenakan kepada pelajar baharu sesi akademik 2023/2024 adalah sebanyak RM360, dengan kenaikan sebanyak RM119 atau 49.3 peratus kenaikan daripada tahun sebelumnya, selain tiada perincian jelas berkaitan pecahan yuran terbabit.
"Berikutan pandemik Covid-19 pada tahun 2020, pentadbiran Universiti Malaya dalam satu kenyataan media yang diulas oleh Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor telah bersetuju untuk menangguhkan kenaikan yuran pengajian bagi pelajar yang berdaftar pada sesi akademik 2021/2022 dan 2022/2023. Ini bagi menyahut hasrat bekas Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, Datuk Seri Noraini Ahmad untuk meletakkan kebajikan pelajar sebagai keutamaan,” katanya.
Nurul Afrina turut melahirkan rasa kesal kerana hasrat menjunjung kebajikan pelajar kini seperti dilupakan apabila pentadbiran UM menggunakan muslihat licik dengan tidak menaikkan yuran pengajian sebaliknya menaikkan yuran perkhidmatan tanpa sebarang notis. Katanya, yuran tersebut juga perlu dibayar sebelum mendaftar sebagai pelajar aktif ekoran dasar 'zero balance policy' yang dilaksanakan.