KUANTAN - Usul supaya tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan MIC 2024 antara lapan resolusi yang dipersetujui pada Konvensyen MIC negeri Pahang ke-77 di Bentong pada Sabtu.
Pengerusi MIC Pahang V Arumugam berkata, gandingan Presiden Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Timbalannya Datuk Seri M Saravanan cukup berwibawa dalam mengemudi parti, menjadikan akar umbi mahu mereka dikekalkan untuk perpaduan dalam MIC.
Beliau berkata, MIC Pahang juga menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Vigneswaran untuk terus mengemudi dan menjayakan agenda pemerkasaan parti serta masyarakat berdasarkan pelbagai perubahan positif sejak beliau menerajui kepimpinan MIC Kebangsaan.
Menurutnya konvensyen yang dihadiri 250 perwakilan dari seluruh Pahang itu turut mencadangkan pemansuhan Artikel 58.2.A perlembagaan parti yang menetapkan bahawa seseorang hanya boleh menyandang jawatan presiden untuk tiga penggal berturut-turut.