Cari harga barang, premis berpatutan guna PriceCatcher

Iklan
PriceCatcher membantu pengguna membuat perancangan perbelanjaan secara berhemah

PriceCatcher membantu pengguna membuat perancangan perbelanjaan secara berhemah

PriceCatcher membantu pengguna membuat perancangan perbelanjaan secara berhemah

Aplikasi mudah alih perbandingan harga PriceCatcher yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mampu membantu para pengguna membuat pilihan bijak dalam perbelanjaan seharian mereka. Aplikasi PriceCatcher ini boleh dimuat turun melalui Apple AppStore, Google PlayStore dan Huawei App Gallery.

Iklan
Iklan

Kemampuan PriceCatcher itu dijelaskan Pengarah Bahagian Harga Barangan Negara, KPDN, Selvi Shanmugam, yang mana aplikasi tersebut berfungsi sebagai rujukan kepada para pengguna mengenai maklumat semasa harga barangan keperluan serta lokasi premis yang menawarkan harga berpatutan.

"PriceCatcher membantu pengguna membuat perancangan perbelanjaan secara berhemah serta mendapatkan barangan keperluan mereka pada harga terbaik. Selain itu, aplikasi ini memuatkan harga lebih daripada 400 barangan di 1,500 premis terpilih seluruh Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

SELVI SHANMUGAM

Iklan

Tambah Selvi, aplikasi itu turut menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk membuat carian barangan serta lokasi mengikut kategori yang diinginkan di seluruh negara.

Pada masa sama, aplikasi PriceCatcher juga memaparkan ciri MyPeruncit yang membolehkan pengguna mencari lokasi premis yang menawarkan harga berpatutan sama ada di pasar basah, pasar raya dan kedai runcit menerusi pautan Google Maps dan Waze.

Iklan

"Lebih menarik, hasil carian harga barangan juga boleh dikongsi oleh pengguna kepada kenalan melalui media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan sebagainya,” jelas beliau.

"Bandingkan harga, baru beli”



Selain memberi maklumat yang tepat kepada para pengguna, aplikasi PriceCatcher secara tidak langsung membolehkan pengguna membuat perancangan perbelanjaan menerusi perbandingan harga barangan di pasaran.

Selvi turut memberitahu, kategori barangan yang dipaparkan secara harian dalam aplikasi berkenaan merangkumi barangan segar serta barangan kering.

"Harga yang dipaparkan dalam aplikasi ini akan dikemas kini setiap hari, kecuali pada cuti umum.

"Bagi barangan berbungkus seperti susu dan keperluan bayi, ia akan dikemaskini setiap minggu manakala produk kebersihan dan minuman pada setiap bulan.

"Pada masa sama, penambahan kategori premis seperti pasar mini dan kedai runcit untuk pemantauan dikemas kini secara mingguan dan bulanan,” jelasnya.

Katanya, bagi premis pasar basah harga barangan akan dikemaskini sebelum jam 9.30 pagi manakala pasar raya dan kedai runcit sebelum jam 12 tengah hari.

PriceCatcher hanya memaparkan premis berdasarkan lokasi semasa pengguna dan kedudukan adalah 10 kilometer (km) radius bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala 20km di Sabah dan Sarawak.

Maklumat harga secara real-time



Berkenaan harga barangan yang dipaparkan dalam PriceCatcher, Selvi memaklumkan ia berdasarkan kepada harga real-time semasa pemantauan dilaksanakan oleh Pengawai Pemantau Harga (PPH) KPDN.

Walau bagaimanapun, sebarang perubahan harga yang dibuat oleh premis-premis yang berlaku sebelum dan selepas pemantauan harga oleh PPH adalah di luar kawalan Kementerian.

Dalam hal ini juga, para pengguna juga boleh menjadi mata dan telinga di lapangan dalam mengemukakan"Aduan Pengguna” secara terus kepada KPDN sekiranya terdapat isu berkaitan kepenggunaan, harga atau peniaga melalui saluran aduan yang terdapat dalam aplikasi ini

Aduan boleh dikemukakan bersama butiran lengkap melalui saluran aduan Kementerian seperti berikut:

WhatsApp: 019-279 4317 / 019-848 8000;

Call Centre/Hotline: 1-800-886-800;

Portal e-Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my;

Emel: e-aduan@kpdn.gov.my; dan

Aplikasi: Ez ADU KPDN.

Tambah baik PriceCatcher, perluaskan capaian pengguna

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) disaran supaya memperluaskan dan menambah baik penggunaan aplikasi PriceCatcher kepada para pengguna di luar bandar.

AIDA HAYATI

Seorang Penjawat awam, Aida Hayati Azis, 33, berkata, penambahbaikan terhadap aplikasi itu penting bagi meningkatkan penggunaan aplikasi digital untuk perbandingan harga dalam kalangan masyarakat.

"Saya harap KPDN dapat menambah baik aplikasi ini supaya menjadi lebih informatif dan interaktif supaya para pengguna dapat menggunakannya sebagai panduan untuk menyemak harga serta membuat pilihan tepat.

"Selain itu, penggunaan aplikasi ini juga perlu diperluaskan ke kawasan pedalaman agar dapat memberi kemudahan kepada semua penduduk di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Eksekutif pembinaan, Shafawati Munirah Mohd Zin pula berpendapat, KPDN perlu meningkatkan promosi memperkenalkan aplikasi PriceCatcher kerana dirasakan masih ramai pengguna tidak mengetahui manfaat penggunaannya.

SHAFAWATI MUNIRAH


"Saya secara peribadi, tidak mengetahui mengenai aplikasi ini. Mungkin pendedahannya belum begitu meluas, sedangkan aplikasi ini amat baik untuk para pengguna,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, penggunaan aplikasi mudah alih perbandingan harga itu diakui belum mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.

Menurut Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, jumlah penggunaannya dan muat turun aplikasi PriceCatcher masih sedikit berbanding populasi negara ketika ini.

Sehingga 2 Oktober 2023, aplikasi berkenaan dimuat turun sebanyak 310,894 dengan kadar pelawat harian sekitar 2,000 orang.

Info: Aplikasi PriceCatcher

Pemantauan Harga 480 Barangan:

-186 item dipantau secara harian;

-220 item dipantau secara mingguan; dan

-74 item dipantau secara bulanan.

Kategori Barangan Dipantau:

-barangan segar;

-barangan kering;

-barangan berbungkus/tin/pek/kotak/botol;

-susu dan barangan bayi;

-produk kebersihan; dan

-minuman.

Jenis Premis Pemantauan:

-Pasar basah;

-Hypermarket (pasar raya besar);

-Supermarket (pasar raya);

-pasar mini; dan

-kedai runcit.