Pemergian Roger kehilangan besar dunia kewartawanan negara

Iklan
Abdul Rahman Yeop Mat Norodin meninggal dunia di kediamannya dekat Dungun, 9.15 pagi tadi. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pemergian bekas Editor Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Abdul Rahman Yeop Mat Norodin atau lebih dikenali sebagai 'Roger' disifatkan sebagai kehilangan besar buat dunia kewartawanan negara. Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin berkata, Allahyarham merupakan seorang editor dan ketua yang tegas.

"Saya amat terasa akan kehilangannya kerana Allahyarham juga adalah antara guru saya dalam karier saya selaku wartawan. Allahyarham banyak mendidik saya terutama dalam soal disiplin dan tumpuan kerja kerana Allahyarham sangat serius dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Kami di Bilik Berita dan Bernama pasti akan merasai kehilangannya,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada isteri dan ahli keluarga Abdul Rahman.

Iklan
Iklan

Abdul Rahman, 73, meninggal dunia di kediamannya di Dungun, Terengganu jam 9.15 pagi tadi selepas menderita penyakit strok sejak 2010. Roslan turut memaklumkan Bernama mempunyai perancangan menghantar sekretariat Tabung Bantuan Kasih@HAWANA untuk menziarahi Allahyarham pada bulan depan namun hasrat itu tidak kesampaian.

Ketua Pengarang Bernama Jamaluddin Muhammad berkata, beliau banyak belajar daripada Allahyarham Abdul Rahman yang pada beliau seorang yang efisien, amat berkebolehan dan memiliki integriti yang tinggi.

Iklan

Sementara itu, Editor Projek Khas Bernama, M Govind Nair berkata, arwah merupakan seorang rakan sejawat yang tegas dan percaya untuk memberikan yang terbaik dalam tugasnya serta seorang sahabat yang sukar dicari ganti atas kesanggupannya menghulurkan bantuan kepada rakan dan teman sekerja.

"Roger gemar menggunakan pen founten dan sering membawa sebotol dakwat bersama beliau. Banyak kali saya lihat jari-jemarinya terkena dakwat. Saya terasa kehilangan beliau, bukan sahaja sebagai teman sejawat tetapi lebih kepada seorang sahabat yang sentiasa di dalam ingatan,” katanya.

Iklan

Mengimbau kembali kenangan manis bersama Roger, Govind berkata, masih terngiang-ngiang suara lantang Roger yang berulang kali berkata"tanda, tanda” kepada beliau dan teman sepasukan untuk mengawal pemain pasukan lawan yang sedang mengawal bola semasa Abdul Rahman menjadi jurulatih bola sepak Bernama buat seketika.

Sementara itu. Timbalan Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris, Yeap Boo Yam berkata, Allahyarham Abdul Rahman adalah seorang ketua yang baik hati dan budiman serta komited kepada tugas selain bermurah hati untuk berkongsi pengetahuan dengan anak buahnya.

"Semasa saya menyertai Bernama pada 1985, Allahyarham merupakan senior yang banyak membimbing saya. Boleh dikatakan beliau guru saya di Bernama. Bimbingan dan teguran beliau banyak membantu dalam membentuk kerjaya saya sebagai wartawan,” katanya.

Bekas Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang berkata, jasa dan khidmat bakti Allahyarham akan sentiasa terpahat dalam sejarah pertubuhan berita itu.

"Begitu juga sumbangan besarnya kepada kewartawanan negara yang wajar dicontohi oleh wartawan generasi muda.

Sebagai rakan kontemporari Allahyarham di Bernama, kami sama-sama melalui liku-liku kerjaya dan cabaran profesion sepanjang hampir 40 tahun. Saya menyanjung tinggi integriti dan profesionalisme Allahyarham,” katanya. - Bernama