SHAH ALAM - Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 yang mengetengahkan pelbagai aktiviti mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran ramai pengunjung yang rata-rata mengakui menggamit kenangan mereka ketika di kampung.
Penasihat Legasi Cinta Seni, Muhammad Azizan Ahmad Mahyuddin berkata, antara aktiviti mendapat sambutan pengunjung adalah permainan tradisional seperti lompat tali getah, sepak bulu ayam, lempar gelung, menyumpit dan sebagainya.
"Lebih daripada lapan reruai dibuka antaranya pemeriksaan kesihatan percuma oleh PERKESO, pameran Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Proton, pameran kraf batik serta jualan makanan.
"Program berlangsung hingga 11 malam diakhiri persembahan teater tradisional yang mengujakan," katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya), Persatuan Legasi Cinta Seni dan Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) dimulakan dengan pertandingan mewarna dan aktiviti zumba diketuai Rifmia Mayang dari ‘Mia and Crew’ membabitkan penyertaan seramai 70 peserta.
Penasihatnya, Azman Awang, 43, berkata, pihaknya berbangga kerana diundang untuk mengetuai aktiviti zumba dan berharap program seperti itu akan diteruskan pada masa akan datang.
"Aktiviti ini bukan sahaja menyihatkan, malah secara tidak langsung mengeratkan hubungan peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.
Dalam pada itu, pertandingan mewarna juga mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 100 peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia empat hingga sembilan tahun.
Pengunjung, Siti Nor Hijah Abdul Rahman, 37, berkata pertandingan mewarna dapat memberi pengalaman, mengembangkan bakat sedia ada dan meningkatkan kemahiran kanak- kanak.
"Saya lihat minat kanak-kanak termasuk anak saya gemar menyertai pertandingan mewarna seperti ini.
"Secara tidak langsung, ibu bapa dapat melihat bakat kreativiti anak mereka dalam mewarna mengikut minat masing-masing,” katanya yang juga seorang guru.
Selain itu, antara aktiviti yang menjadi tarikan adalah gerai pameran Sumpit Orang Asli Mah Meri dari Pulau Carey yang diuruskan Mahil Anak Dok, 56, yang juga anak jati berasal dari perkampungan berkenaan.
Menerusi gerai pameran ini, orang ramai berkesempatan belajar cara menyumpit menggunakan peralatan sebenar dan membawa pulang cenderamata sekiranya berjaya mengena sasaran.
Dedah warisan negara kepada generasi muda
Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, festival itu turut diisi permainan tradisional yang sudah hampir pupus dan penganjurannya adalah satu usaha untuk menghidupkan kembali seni dan budaya lama.
"Warisan ini perlu dikekalkan kerana setiap bangsa mempunyai warisan sendiri dan dalam kehidupan, kita juga perlu meninggalkan warisan kepada anak cucu.
"Kalau boleh program seperti ini dapat dianjurkan setiap tahun bukan sahaja di Selangor, malah di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak supaya seni dan budaya warisan dapat dikekalkan.
"Penganjuran program berasaskan pendidikan, kebudayaan, seni dan warisan ini amat dialu-alukan. Kalau tak cukup tapak tangan, besar bas kita boleh bagi,” katanya ketika ditemui di Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 pada Sabtu.
Menurut Muhammad Nasir, pendidikan adalah penting merangkumi semua aspek iaitu akademik, seni, budaya dan tatasusila kerana ia mampu melahirkan generasi husnul khotimah pada masa akan datang.
"Sekiranya anak-anak dididik sejak kecil seperti meluangkan masa bersama dengan melakukan aktiviti diminati mereka, ia mampu meningkatkan nilai kasih sayang dalam hubungan kekeluargaan.
"Setiap aktiviti akan fokus kepada perpaduan, pengekalan kebudayaan, warisan dan memperkasakan seni. Jadi, tema ini cukup baik dan perlu dikekalkan. Mungkin bukan sekali setahun tetapi dua kali setahun.
"Kalau boleh adakan asimulasi seni dan budaya, memperkenalkan semua budaya kaum yang ada dalam negara. Percantuman budaya antara penduduk Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak adalah satu usaha yang sangat baik,” jelasnya.