Kuasa penyembuh karya sastera

Iklan
Gambar hiasan

BAGAIMANA karya sastera dikatakan dapat menyembuh jiwa yang lara? Apakah perkataan healing hari ini yang meluas digunakan masyarakat khususnya anak muda, dapat diterjemahkan dalam dunia karya sastera?

Walhal alangkah baiknya jika perkataan healing itu digantikan dengan ‘penyembuhan’ yang bunyinya lebih enak dan nyaman lantaran menggambarkan bahasa jiwa bangsa. Atau menggunakan maksud ‘ketenangan daripada perkara yang membelenggu diri’. Atau dalam kata lain karya sastera sebagai alat terapeutik.

Bagaimana karya sastera sebagai penyembuh daripada luka, dan lara yang bermaharajalela? Bagaimana mahu membereskan tekanan yang menghempap diri dan menikam segenap penjuru rasa.

Misalnya tentang ekonomi yang tidak stabil, masalah sosial yang membuak-buak, alam sekitar yang sering tercemar, dan pelbagai isu yang mengganggu gugat keharmonian begitu mencengkam hari ini.

Iklan
Iklan

Apakah yang dapat dihidangkan oleh karya sastera untuk pembaca? Adakah sekadar hiburan semata-mata, untuk mengisi masa senggang? Karya sastera Melayu sebenarnya memiliki bahasa dan gaya bahasa yang mengandungi seni dan keindahan yang tersendiri untuk membangun peribadi manusia.

Karya sastera Melayu berupaya menyembuh kesedihan dan kemurungan yang bermukim dalam diri untuk bangkit meredah masalah yang melanda. Dengan genre yang pelbagai, misalnya sastera tradisional, iaitu pantun, dan syair selain sastera moden, iaitu novel dan cerpen dapat menumbuhkan penyembuhan.

Cuba perhatikan syair nasihat hasil karya Tenas Effendy dengan bahasa dan gaya bahasanya yang lunak serta memikat untuk membangunkan jiwa anak muda:

Iklan

Ungkapan ‘ananda’ yang diulang banyak kali jelas mengajak golongan muda untuk bersiap siaga dengan kemulukan ketimbang kebobrokan.

Syair nasihat ini jelas memesan anak muda untuk menjadi generasi yang tidak hanya bijak dalam akademik bahkan berkeperibadian mulia.

Garapan ‘wahai ananda’ dilihat lunak, dan mesra yang dapat menyembuh segala lara dan duka.

Seterusnya pantun yang diungkapkan Nazel Hashim Mohamad turut sesuai untuk dihayati golongan anak muda:

Iklan

Andai ada dalam kalangan pembaca yang dirundung gelisah dan resah, pasti pantun empat kerat ini dapat memulihkan emosi. Boleh sahaja pantun ini dibaca dengan nada yang kuat untuk membingkas jiwa.

Lantaran pembayang pantun dua kerat ini juga memperlihat keindahan alam yang mengajak pembaca menikmati kehidupan ini dengan ketenangan:

‘Pohon eru di Pantai Cenang, Hulu Melaka banyak cerita’, dan ‘Durian belanda tak berpangsa, bijinya jarang hitam berbintik”, jelas menunjukkan alam ini memiliki kepelbagaian pohon, pantai, buah-buahan yang mendidik manusia untuk berfikir, dan menghargai ciptaan-Nya. Maka, pantun dengan kreativiti yang dibina pengarang dapat menyembuh segala kegalauan.

Selain itu, novel Tenggelamnya Kapal Van der Wijck karya Hamka turut mempamerkan gaya bahasa yang menginspirasikan anak muda:

"Anak lelaki tak boleh dihiraukan panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskipun bagaimana besar gelombang. Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang.”Indah dan berseni

Penggunaan perkataan ‘berjuang’ dengan pasangan ‘panjang’, ‘palang’, ‘gelombang’ dan ‘pulang’ menawarkan rima yang indah dan berseni. Jika dibaca dengan nada yang beralun, pasti dapat memberikan makna untuk jiwa yang dilanda kemurungan. Pengarang turut mengajukan nilai falsafah untuk anak muda berfikir dengan bijaksana.

Sajak Perkasihan Subuh hasil karya Sasterawan Negara, Siti Zainon Ismail juga dapat membugar rasa cinta kepada Tuhan Yang Maha Pencipta sekiranya pembaca diasak dengan selirat permasalahan. Nukilan perkataan ‘subuh’, ‘mimpi’, ‘kudekap’ dan ‘cinta-Mu’ jika dihayati dengan lantunan bacaan yang kuat pasti menumbuhkan ketenangan yang tersendiri.

Ungkapan tersebut kelihatan lunak dan nyaman untuk pembaca yang sedang dilanda pilu dan kecewa:



Karya sastera sememangnya kaya dengan garapan bahasa yang indah dan mengajak pembaca menghayati sekali gus memahami perutusan yang disampaikan. Keupayaan pengarang yang berusaha sedaya mengguguskan gaya bahasa yang dapat mencelikkan akal fikir pembaca sangat dihargai.

Lantaran ‘bahasa jiwa bangsa’, dan ‘bahasa menjulang kukuh, sastera menjunjung ampuh’ sewajarnya dipahatkan dalam diri kepengarangan kala berkarya, dan menawarkan sarat makna untuk pembaca khususnya golongan muda.

Cuba perhatikan pula tajuk cerpen Kumpulan Cerpen Taman Puspa karya Anis (Amida @Hamidah Abdul Hamid) yang indah garapan bahasanya iaitu Jalan ke Syurga, Cenderamata, Nostalgia, Hatinya Jantung, Cerita Sorang Seniman, Rindu Bersemi di Kundasang, Cinta Jamuna dan lain-lain yang dapat menjentik nurani pembaca untuk berinteraksi dengan berhemah dan berhikmah.

Malahan dengan wujudnya model terapi jiwa Imam al-Ghazali yang menyuguhkan proses penyucian jiwa yang melibatkan dua elemen utama, iaitu tazkiyah (penyucian) jiwa daripada sifat negatif, dan tahliyyah (menghiasi) jiwa dengan sifat positif, boleh digemblengkan untuk hasil karya sastera sebagai penyembuhan jiwa, dan mengusir kemurungan.

Jika ada yang bertanya,"bolehkah karya sastera untuk penyembuhan?” Ya, sesungguhnya karya sastera dapat menyembuhkan segala lara dan duka, resah dan gundah gulana lantaran ungkapan gaya bahasa dan bahasanya yang mengasuh peribadi.

Bak kata Sasterawan Negara Abdullah Hussain:"Tiada akan besar bangsa yang tiada kasihkan bahasanya” untuk renungan semua.

Malahan ungkap Thomas De Kempis,"Saya telah mencari ketenangan di mana-mana, dan saya hanya mendapati ia duduk di sudut terpencil, dengan sebuah buku di tangan saya.” Maka pilih dan bacalah karya sastera yang dapat membugar jiwa!

* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM.