KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengeluarkan notis sita (LAK) terhadap sebuah taska terkenal di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, yang terbabit dalam kejadian kematian bayi berusia dua bulan, Selasa lalu. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, tindakan itu diambil bermula Isnin selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak berdaftar dengan JKM.
Katanya, kegagalan sesebuah taska mendaftar dengan JKM menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 6(1) Akta Taska 1984. Beliau dalam pada itu memberi amaran kepada semua taska yang tidak berdaftar, bahawa tindakan LAK akan diambil menyebabkan pengusaha boleh dikompaun atau didakwa, sekiranya masih gagal mengemukakan perakuan pendaftaran taska 21 hari dari tarikh LAK.
"Bermula esok, JKM akan keluarkan notis LAK terhadap taska tersebut. Bagi taska-taska yang tidak berdaftar, tindakan LAK akan diambil dan boleh dikompaun atau didakwa sekiranya masih gagal mengemukakan perakuan pendaftaran taska 21 hari dari tarikh LAK.
ARTIKEL BERKAITAN:Baru dua hari hantar ke taska, bayi dua bulan maut
ARTIKEL BERKAITAN:Bayi dua bulan maut di taska, polis tahan pengasuh
"Saya juga menekankan kepentingan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di taska-taska. Namun, pengasuh juga memainkan peranan yang amat penting. Pengasuh taska perlulah berkemampuan, dilatih dengan baik dan memastikan tahap kesihatan mental yang sihat,” kata Nancy dalam satu kenyataan kepada Awani. Dalam pada itu Nancy berkata, beliau sering menitikberatkan keperluan tentang ekonomi penjagaan, khususnya bagi melatih pengasuh yang lebih berkemampuan.
"Semakin berkemampuan pengasuh, semakin tinggi kepercayaan antara ibu bapa dan taska,” katanya lagi.
Pada Sabtu,Awani melaporkan Qaseh Aulia Faizul, yang baru berusia dua bulan maut dipercayai ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah taska di Kota Damansara.
Difahamkan, kejadian itu menimpa Qaseh Aulia pada hari kedua dia dihantar ke taska berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, setakat ini, tiga individu termasuk ibu bapa mangsa telah dirakamkan percakapan.
"Kertas siasatan sedang dilengkapkan... pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat bayi berkenaan. Difahamkan taska tersebut mempunyai lima cawangan keseluruhannya," katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Awani