KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menyifatkan tindakan menggelar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai 'lembu dicucuk hidung' oleh Pas merupakan cubaan untuk melaga-lagakan kedua-dua parti itu.
Menurut beliau, tindakan itu seolah-olah mahu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Bersatu terhadap Pas.
"Contohnya selepas PRU (Pilihan Raya Umum) baru-baru ini kita memang sudah bincang dari awal dan secara umumnya Bersatu telah menyerahkan Kelantan, Kedah, Terengganu kepada Pas.
"Itu memang kita setuju dari awal lagi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Ahad.
Mohd Amar memberitahu, pada peringkat awal lagi kalau Perikatan Nasional (PN) menang di Selangor, kerusi Menteri Besar (MB) akan diberi kepada Bersatu.
Ujarnya, begitu juga di Negeri Sembilan namun PN tidak menang di negeri berkenaan.
Menurut beliau, dengan itu tiadalah jawatan MB untuk Bersatu.
"Macam di Kelantan kita sudah banyak memberikan ruang pada Bersatu dengan melantik seorang daripada mereka sebagai Exco, dua Timbalan Exco dan seorang Timbalan Speaker.
"Daripada enam wakil rakyat Bersatu, hanya dua orang tidak diberikan jawatan dan itu belum lagi dikira lantikan politik," katanya.
Mohd Amar memberitahu, sama juga di Kedah, Terengganu dan tiada isu Bersatu diketepikan.
Ujar beliau, macam Bersatu di Kelantan, mereka cakap terus terang menumpang Pas sahaja.
"Kita (Bersatu) menang pun kerana jentera dan sokongan orang Pas, jadi tidak berbangkit," katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan bekas ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman menyifatkan Bersatu hanya menjadi pak turut Pas dan sebagai pelengkap agenda politik jumud parti Islam itu.
Dia berkata demikian ketika mengulas coretan seorang ahli Bersatu yang mencadangkan agar kepimpinan parti itu dirombak.
Katanya, sekiranya Bersatu menjadi semakin ekstrem di bawah PN, adalah sukar untuk parti itu membentuk kerajaan pusat memandangkan perkara itu hanya dapat dicapai melalui kerjasama dengan kaum-kaum lain.