KOTA BHARU - Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin memaklumkan gangguan air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini tidak kritikal.
Menurut beliau, pihaknya telah mengambil beberapa langkah dengan bantuan Pengarah Hospital bagi memastikan isu tersebut tidak mengganggu operasi di sini.
"Alhamdulillah setakat ini tidak ada lagi gangguan besar berkaitan air yang berlaku," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu air yang pernah berlaku di HRPZII.
Sebelum itu beliau menyaksikan majlis memorandum persefahaman (MoU) diantara Pengerusi Yayasan Klinik Mata Lions Malaysia, Dr Kamalanathan dan Pengrah HRPZII, Datuk Dr Abdul Haris Muhammad di sini pada Ahad.
Sinar Harian pada 21 Mac 2021 lalu melaporkan, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali memaklumkan hopsital berkenaan sudah berdepan masalah air sejak 10 tahun lalu sehingga memberi kesan kepada kakitangan, pesakit dan juga waris pesakit untuk melaksanakan tugas harian mereka.
Malah katanya, bekalan air hanya berada dicapaian baik menjelang malam namun kembali berkurangan apabila waktu kemuncak terutamanya tengah hari.
"Setiap hari penggunaan air di hospital kita agak tinggi sehingga mencecah 500 gelen iaitu bersamaan dengan 1,893 liter.
"Kapasiti pesakit pula hampir 1,000 orang dan jumlah kakitangan pula seramai 4,000 orang, ini tidak termasuk jumlah waris pesakit yang menjaga dan mengunjungi hospital,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Zaini memberitahu, untuk tahun ini Kelantan telah mendapat peruntukan sebanyak RM9.3 juta bagi membina 38 buah klinik daif.
Ujarnya, setakat hari ini ia telah berjalan dengan lancar dan menjangkakan siap dalam Oktober bulan ini.
Dr Zaini memberitahu, projek tersebut sudah ada yang telah siap dan dalam proses pembinaan kerana perlu mengikut saiz.