IPOH - Pemergian seorang pelajar Tingkatan 2 akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah gerai burger di Taman Bercham Raya di sini pada awal pagi Ahad amat dirasai keluarga. Ibu mangsa, Nik Nor Diana Ismail, 44, mengakui masih terkejut dengan berita kematian anak kedua dari tiga beradik itu, Muhamad Nadim Taqwa Abdul Malek, 14.
Menurutnya, kali terakhir mereka berhubung pada malam Sabtu ketika sedang membantu bapanya meniaga di pasar malam Bercham Raya dekat sini."Dia anak yang manja dan tak pernah berkira dengan keluarga. Walaupun kerja sambilan, bila dapat gaji dia akan bagi sikit dan belanja makan."Saya terkejut bila dapat tahu dia meninggal sebab kami baru bermesej melalui WhatsApp. Dia kata rindu nak makan ayam goreng kunyit ibu," katanya dengan sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat sini pada Ahad.