BANGI - Empat pasangan kembar berkongsi kegembiraan apabila menerima diploma masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI ke-20.
Putri Nur Eliesya Edryyana dan Putri Nur Emiesya Edryna Muhammad Asnawi menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak; Hanani' Izzati dan Hanani 'Izzah Sudarmaji (Diploma Pengurusan Industri Halal); Amerah Laila dan Amerah Laili Ahmad Rahimy serta Nur Khairunnabila dan Nur Khairunnajua Khairul Jeffri pula mengambil bidang berbeza.
Amerah Laila merupakan graduan Diploma Pengurusan Industri Halal dan adiknya, Amerah Laili, 22, menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak manakala Nur Khairunnabila (Diploma Pengurusan Industri Halal) dan adiknya, Nur Khairunnajua (Diploma Pengajian Islam).
Berkongsi pengalaman ketika bergelar mahasiswa di Kolej UNITI Port Dickson, Negeri Sembilan, pasangan kembar dari Pahang, Putri Nur Eliesya Edryyana dan Putri Nur Emiesya Edryna, 22, berkata, mereka sememangnya tidak pernah berenggang sejak lahir dan sering melakukan aktiviti bersama-sama.
Selain gemar pakaian warna dan corak sama, mereka juga lebih cenderung untuk mengulangkaji pelajaran secara bersama.
"Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), kami sepakat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak kerana kami suka dengan golongan itu.
"Tidak sangka kami berdua layak dan ditempatkan dalam kelas sama sehingga akhir pengajian.
"Selepas praktikal, kami bekerja sebagai guru samentara di sekolah yang sama sebelum kedua-duanya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI ke-20 pada Ahad.
Berlainan bagi Amerah Laila dan Amerah Laili, 22, dari Tampin, Negeri Sembilan, mereka mengakui tidak sukar untuk ‘berpisah’ ketika belajar di kolej berkenaan.
Amerah Laila memilih pengurusan industri halal kerana sifatnya yang menitikberatkan penggunaan logo halal pada makanan dan restauran.
"Bagi kami berdua, tiada masalah untuk mengambil bidang berbeza kerana minat dan kehendak tidak serupa
"Malah kami memiliki sifat suka bersaing selain gemar mencabar kemampuandiri antara satu sama lain.
"Cuma pernah berlaku kekeliruan antara rakan dan pensyarah apabila bertemu kami di luar kelas," katanya.
Pada istiadat konvokesyen berkenaan, seramai 812 graduan Kolej UNITI Port Dickson dan 72 graduan Kolej UNITI Kota Bharu, Kelantan menerima diploma masing-masing yang disampaikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Hadir sama, Presiden Kumpulan Pendidikan Kolej, Datuk Jamal Mohd Amin; Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Kota Bharu, Seri Banun Bakhtiar.
Dalam pada itu, graduan Diploma Pembuatan Produk Halal, Nur Farra Adlina Zailani dinobatkan Anugerah Presiden atas kecemerlangan menerusi keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.78 selain aktif berpersatuan.
Selain itu, graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Siti Aisyah Syamsuddin dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pelajar Al-Ghazali manakala graduan Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah, Muhammad Danial Irfan Mohamad Asri menerima Anugerah Khas Pelajar Al-Farabi.