KUALA LUMPUR - Kementerian Industri Utama hari ini mengumumkan kempen"Sayangi Minyak Sawitku” bagi sepanjang tahun ini untuk memerangi kempen anti-sawit yang mengancam kehidupan rakyat,
Menterinya, Teresa Kok Suh Sim berkata, objektif kempen itu adalah untuk memupuk kebanggaan negara dan penghargaan yang lebih tinggi terhadapminyak sawit Malaysia, yang memberi tumpuan kepada kepentingan sosio-ekonomi, kesihatan, pemakanan, dan aplikasi makanan dan bukan makanan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikan pelancaran kempen"Sayangi Minyak Sawitku” pada suku pertama 2019.
"Pelbagai acara dan aktiviti akan diadakan untuk pihak berkepentingan yang berbeza, termasuk ahli industri, profesional, pelajar, ahli akademik dan orang awam.
Ini termasuk menyasarkan golongan muda daripada sekolah rendah hinga ke peringkat pengajian tinggi melalui penubuhan kelab-kelab duta minyak sawit di kampus, forum pendidikan sawit, pertandingan masakan minyak sawit dan latihan penanaman pokok sawit," katanya dalam ucaptama di Seminar Rakan Industri 2019 dan Dialog yang dianjurkan Majlis Minyak Sawit Malaysia di sini, hari ini.
Teresa berkata, untuk membolehkan kerajaan memerangi kempen antiminyak sawit yang membahayakan kehidupan rakyat, semua rakyat Malaysia perlu tahu dan sayangi minyak sawit.
Menurutnya, sentimen itu juga dikongsi oleh Dr Mahathir yang telah menyuarakan kebimbangan dan sokongan beliau dalam melindungi industri sawit negara dan kehidupan rakyat Malaysia.
"Tun (Dr Mahathir) sentiasa menyokong industri minyak sawit kerana ia merupakan penyumbang utama kepada ekonomi kita dan pembasmian kemiskinan luar bandar.
"Walaupun kita akan terus menghadapi lebih banyak cabaran pada 2019, kita perlu lebih bijak di pasaran dan juga mempertahankan minyak sawit Malaysia kita.
"Sebenarnya rakyat kita sendiri, termasuk perniagaan, tidak menyedari kepentingan sosio-ekonomi dan nilai pemakanan minyak sawit, selain ia lebih mesra alam berbanding minyak pesaing lain," katanya.
Ini, kata Teresa, terbukti dengan salah tanggapan dalam kalangan ramai rakyat Malaysia yang terpengaruh oleh kempen antiminyak sawit yang agresif. Beliau juga menyuarakan kesedihan bahawa beberapa perniagaan tempatan didapati menjual produk yang dilabel"tiada minyak sawit" yang diimport.
Menurutnya, penduduk tempatan juga perlu dididik dengan maklumat yang betul seperti industri minyak sawit yang lebih cekap, dengan hasil 10 kali lebih banyak daripada minyak lain sehektar yang ditanam, dengan itu kurang menggunakan tanah, dan ia kurang menggunakan racun perosak dan baja kimia berbanding sumber minyak sayuran lain.
Sementara itu, beliau berkata, disebabkan Eropah menuntut hanya minyak sawit yang diperakui menjelang 2020 melalui Deklarasi Amsterdam, Malaysia bersedia memenuhi keperluan itu melalui skim pensijilan Minyak Kelapa Sawit Lestari Malaysia (MSPO) mandatorinya.
"Kami akan memastikan semua eksport minyak sawit ke pasaran global, termasuk Eropah, sekurang-kurangnya diperakui MSPO menjelang 1 Januari 2020," katanya.
Menteri itu juga menyeru semua pihak berkepentingan untuk menyokong kerajaan dalam usaha ini dengan matlamat utama untuk menghasil dan memasarkan minyak sawit yang dihasilkan secara lestari dengan jaminan kualiti tertinggi Malaysia.
"Dengan kata lain, minyak lima bintang," tambahnya. - Bernama