MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berharap kerajaan akan menambah peruntukan dana kepada sekurang-kurangnya RM50 juta setahun bagi membolehkan program pembangunan atlet para serta sukan itu di peringkat akar umbi diperkasa.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, penambahan dana itu sekali gus mampu disalurkan kepada sejumlah 25 persatuan sukan para di bawah MPM yang sedang mempergiatkan usaha melahirkan lebih ramai atlet pelapis.
"Secara dasarnya peruntukan RM12 juta untuk persiapan temasya para antarabangsa, kami gembira, cuma saya berharap mohon pihak kerajaan untuk memberi atau menambah dana untuk pembangunan sukan maksudnya pembangunan kami sekarang dan kita punya program akar umbi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pengumuman sasaran Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia 2022 Hangzhou di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan, di sini pada Ahad.
Megat D Shahriman diminta mengulas berhubung pengumuman RM12 juta oleh kerajaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa pada pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat lepas.
Beliau berkata dana tambahan itu dalam masa sama akan menyelesaikan masalah dihadapi MPM hampir empat tahun tanpa ada peruntukan untuk tujuan pembangunan sukan para dalam negara.
"Banyak keluarga di Malaysia ini masalahnya contoh di pedalaman dan B40, bila mereka nak hantar anak (para) dia kena buat keputusan. Contoh dia ada lima atau enam anak di mana seorang itu kurang upaya jadi mereka akan fikir nak labur dekat kurang upaya atau normal?” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan anak-anak yang kurang upaya dari kampung di luar sana tiada kemampuan kewangan untuk menyertai sukan para dan perlukan bantuan. - Bernama