Awas, pemilik premis bilik ‘sangkar burung’!

Iklan
Kor Ming (kiri) menunjukkan akhbar Sinar Harian pada sidang media. - Foto Bernama

SELEPAS enam hari kisah bilik ‘sangkar burung’ dibongkarkan oleh Sinar Premium, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi respons pada Ahad memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis tersebut sekiranya gagal mengubah kembali premis atau bangunan kepada bentuk asal.

Perbuatan mengaut keuntungan itu amat dikesali kerana bukan hanya mengenakan sewa yang tinggi hingga mencecah RM700 sebulan tetapi keselesaan dan keselamatan penghuninya diabaikan.

Penyewa tidak boleh berdiri, hanya muat untuk mengangkat tangan dan melunjurkan kaki, maka cadangan disenarai hitamkan premis berkenaan juga patut dipertimbangkan bagi membendung masalah ini daripada berterusan.

Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana pengubahsuaian ruang rumah berkenaan mengundang risiko mengancam nyawa seseorang berikutan tidak mengikuti ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Malah, Kor Ming turut menyifatkan bilik ‘sangkar burung’ itu tidak kondusif dan dianggap tidak keperikemanusiaan.

Justeru, beliau menegaskan pihaknya akan memantau secara aktif keadaan tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan iaitu di bawah Seksyen 79, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1975 terhadap mereka yang melanggar peraturan.

Melalui undang-undang tersebut, pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya diberi kuasa untuk meruntuhkan binaan tersebut dan segala kos ditanggung oleh pemilik premis.

Selain itu denda tidak melebihi RM500 dan juga denda tambahan tidak melebihi RM100 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Iklan

Dalam pada itu, pihak bertanggungjawab perlu memastikan unit rumah disyaratkan kelulusan untuk pengubahsuaian melibatkan perubahan ruang lantai, fakad (tampak bangunan) dan tingkat sepertimana disarankan Perunding Perancang Bandar, Zaliah Shamsudin.

Kewujudan bilik ‘sangkar burung’ perlu dibanteras segera kerana sikap tamak secara tidak langsung mencerminkan bagaimana layanan terhadap mereka kurang berkemampuan di negara ini.

Sepatutnya rumah atau bilik sewa yang menjadi tempat berteduh dan berehat selepas penat bekerja seharian lebih selesa serta bukannya seperti ‘haiwan di dalam sangkar’.

Iklan