Ahli Parlimen tidak lagi dibenar buat 'live' ucapan di Dewan Rakyat

Iklan
JOHARI

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Semua ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan untuk membuat penstriman langsung di media sosial menggunakan peranti peribadi mereka semasa menyampaikan ucapan pada sesi persidangan Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau membuat ketetapan itu ekoran meningkatnya trend ahli Parlimen memasang peranti seperti telefon bimbit di meja masing-masing untuk membuat perstriman langsung sejak kebelakangan ini.

Katanya, mengikut Peraturan Mesyuarat 35(1), ahli Parlimen sepatutnya perlu mengarahkan sebarang ucapan kepada pengerusi mesyuarat.

"Tindakan beberapa ahli Yang Berhormat berucap dengan tidak mengarahkan ucapan itu kepada pengerusi dan memandang peranti yang dipasang jelas tidak mematuhi peraturan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Justeru, untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 35(1), saya dengan ini menetapkan bahawa ahli-ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat penstriman langsung dalam Dewan Rakyat," katanya pada permulaan sesi soal jawab lisan di Parlimen pada Isnin.

Johari memberitahu, ucapan ahli Parlimen boleh ditonton melalui siaran langsung sidang Dewan Rakyat di YouTube rasmi Parlimen Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media massa yang lain.

"Diharap agar ahli-ahli Yang Berhormat dapat memberi kerjasama dalam perkara ini," ujarnya.

Bagaimanapun, ketetapan itu dibantah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) kerana beranggapan ia tidak munasabah semata-mata kerana ahli Parlimen tidak memandang pengerusi ketika berucap dan memohon perkara itu diteliti semula.

Iklan

Susulan itu, Johari meminta Ronald menulis permohonan pindaan ketetapan tersebut kepada jawatankuasa Parlimen supaya keputusan tentang perkara itu dapat dipinda.

"Tidak ada masalah, peraturan mesyuarat (Dewan Rakyat) ini bukan saya yang buat tapi kita yang buat melalui jawatankuasa.

"Saya tahu penstriman langsung ini perkara yang bagus, teknologi moden tapi kita juga ada siaran langsung RTM dan YouTube, itu dah cukup," tambahnya.

Menurut beliau, sekiranya ahli Parlimen mahu menggunakan rakaman ucapan masing-masing untuk apa pun tujuan, ia boleh diambil dari dua platform tersebut.

Iklan

Katanya, ia kerana semasa ahli Parlimen berinteraksi dengan audien ketika penstrimen langsung, perhatian mereka bukan lagi pada sidang dewan.

"Saya perhati, saya duduk atas saya nampak, dia (ahli Parlimen akan duduk 'adjust' (peranti) setengah jam dan dia tak terus berbincang masalah rakyat dalam dewan tapi dia berkomunikasi dengan audien dia. Ini sangat tak bagus," jelasnya.