PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pejabat-pejabat kerajaan mengamalkan budaya penjimatan elektrik di samping mengelakkan pembaziran walaupun melibatkan hal yang kecil.
"Membazir ini kita selalu lihat yang besar-besar, kita lupa cara kita guna elektrik pejabat,” kata beliau dan menambah amalan itu perlu diubah kerana ia melibatkan dana awam.
"Saya harap hal ini boleh kita mulakan dalam satu budaya kerana kalau penjimatan itu dapat kita amalkan, banyak hal boleh dilakukan,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Oktober di sini pada Isnin.
Anwar berkata, ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an, beliau amat menitikberatkan supaya tidak berlaku pembaziran elektrik di pejabatnya.