JOHOR BAHRU - Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor terlepas hukuman penjara apabila Mahkamah Tinggi di sini memutuskan untuk melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan menjalankan penyeludupan migran, tiga tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat terhadap tertuduh, Noryati Abu Bakar, 53, dan Haris Fadzilah Abu Bakar, 51.
Dalam penghakimannya, Noor Hayati berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
"Prosedur pengeluaran migran yang dibuat kedua-dua tertuduh adalah mengikut tatacara dibenarkan dalam prosedur imigresen.
"Tiada bukti mengatakan kedua-dua mereka tahu migran terbabit telah masuk ke negara ini secara salah.
"Oleh demikian, saya berpuas hati bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh. Sehubungan itu kedua-duanya dilepas dan dibebaskan tanpa perlu pembelaan dipanggil," katanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Noryati dan Haris Fadzilah bersama tiga yang lain didakwa menjalankan penyeludupan terhadap lapan migran warga Indonesia di Lot 21, Jalan Feri di Pelabuhan Pasir Gudang di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, 15 Jun 2020.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Noor Hayati diwakili peguam, Latheefa Koya dan Zaid Malek, manakala Haris Fadzilah pula diwakili Zamri Idrus, Muhammad Abd Kadir, Md Ridzuan Othman dan Khairulnadiah Hasni Yusoff.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Kodesviary.
Sementara itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara dua hingga empat tahun terhadap tiga tertuduh lain iaitu buruh binaan, M Amir Nasir, Tengku Jajang Sagita Tengku Redzuan (ejen tiket feri) dan Razali Mohamad (pengawal keselamatan di Terminal Feri Pasir Gudang) selepas masing-masing mengaku bersalah.