SABTU lalu menjadi momen terindah buat pasangan pelakon Sabri Yunus dan Angeline Tan yang selamat bernikah dalam satu majlis di Perlis.
Lebih manis lagi pasangan selebriti itu dinikahkan sendiri oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza.
Majlis ijab kabul kedua-duanya turut disiakan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Dr Maza.
"Saya nikahkah engkau, Sabri bin Yunus dengan Ardini Angeline Tan, mas kahwinnya seutas rantai emas.”
"Saya terima dengan seperti yang disebut,” sambut Sabri, 62, yang melafazkan qabul selepas ijab dibacakan oleh Dr Maza.
Begitu senang dan mudahnya akad nikah dilafazkan. Tidak seperti majlis-majlis pernikahan lain.
Adakalanya pengantin lelaki terpaksa mengulang semula akad nikah banyak kali kerana tidak sampai nafas. Ini kerana ada yang menetapkan lafaz itu perlu diucapkan dalam satu nafas sahaja.
Jika asyik tidak sah sahaja, mungkin sebab itu ramai yang terpaksa ‘mandi bunga’.
Begitupun, ada juga pihak yang tertanya-tanya dan mempertikaikan lafaz akad nikah sebegitu mudah.
Menjawab tanda tanya itu, Dr Maza dalam laman sosial Facebook miliknya menjelaskan, sesiapa yang membaca hadis Nabi Muhammad SAW, maka mereka akan mendapati bahawa begitu mudah Baginda menikahkah pasangan yang melangsungkan perkahwinan.
Hanya dengan lafaz ‘Aku kahwinkan engkau dengan Fulanah (si pengantin perempuan)’, ungkapnya.
"Yang penting adalah cukup rukun dan adanya ijab serta kabul. Maksud ijab dan kabul ini adalah adanya pemberian satu tawaran perkahwinan dan satu lagi pihak menyambut tawaran pernikahan tersebut.
"Seperkara lagi, adanya ungkapan yang menyatakan bernikah dengan siapa, dinikahkan dan pihak yang satu lagi juga menerima, ada dua orang saksi serta jelas ungkapan tersebut,” terangnya panjang lebar.
Menyambung hujahnya, Dr Maza berkata, dalam Mazhab Syafie, perkataan ‘aku nikahkah’ atau ‘aku kahwinkan’ sudah memadai ketika akad nikah.
Berbeza dengan Mazhab Maliki dan seumpamanya yang begitu luas pemilihan perkataan untuk pernikahan, jelasnya.
"Akan tetapi, kita menggunakan lafaz ‘Aku nikahkah engkau dengan Fulanah, dengan mas kahwin sekian’ cukup. Jadi tidak perlulah ‘Aku terima nikahnya dengan...’.
"Cukup dengan lafaz ‘Aku terima nikahnya seperti yang dinyatakan tadi’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Maza turut menegur sikap sebilangan jurunikah yang dilihat seolah-olah mahu ‘mendera’ pasangan pengantin ketika majlis ijab kabul.
"Kalau kita lihat dalam Sahih al-Bukhari, ia (akad nikah) mudah. Walaupun dalam Mazhab Syafie tidak semudah itu diterima, tetapi kalau seorang lelaki kata kahwinkanlah anak engkau dengan aku dan bapanya pula berkata, aku kahwinkan, (ia) sah.
"Namun, kita di sini (menggunakan lafaz) ‘Aku kahwinkan engkau, nikahkah engkau dengan Fulanah dengan mahar sekian’. Maka apabila dia (pengantin lelaki) kata ‘Aku terima nikahnya seperti yang engkau sebutkan’, maka habis...terimalah.
"Tak adalah (situasi) kena hafal namanya (dalam) satu nafas, putus nafas dan sebagainya. Ini semua adalah salah faham tentang fiqah, silap faham tentang terputusnya majlis dengan kadar yang lama,” katanya.
"Kita jangan jadikan benda-benda itu terlalu rumit. Dalam akad sewa misalnya, cukup sekadar ‘Aku sewa’, tidaklah sampai kepada akad ‘Aku sewa rumah ini dengan sekian pada rumah sekian’ dalam satu nafas.
"Kepada jurunikah, mudahkan urusan pernikahan dan sebelum itu, disunahkan untuk kita mengadakan khutbah (untuk pasangan),” titipnya.