Isteri mangsa dibaham harimau sebak terima manfaat PERKESO

Iklan
Syahira (dua, kanan) sebak selepas menerima manfaat bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di rumahnya di Pos Pasik, Gua Musang.

GUA MUSANG - Isteri kepada Pisie Amud yang maut dibaham harimau ketika keluar menyumpit di Pos Pasik di sini sebak selepas menerima manfaat bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Syahira Hamid, 20, berkata, dia sama sekali tidak menyangka menerima manfaat tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu rahmat buat mereka sekeluarga.

"Dengan adanya sumbangan ini dapatlah saya gunakan untuk membesarkan dua anak yang masih kecil," katanya semasa menerima kunjungan dari PERKESO yang menyerahkan kotak prihatin dan baucar Faedah Pengurusan Mayat di rumahnya di sini pada Isnin.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Pejabat PERKESO Kuala Krai, Mohd Azran Che Nuri.

Iklan
Iklan

Hadir sama ialah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gua Musang, Mohd Ismail.

Sementara itu Mohd Azran berkata, mangsa merupakan pencarum PERKESO yang sebelum ini bekerja sebagai Ranger Komuniti Perhilitan (PELINDUNG).

Ujarnya, melalui caruman itu keluarga Pisie menerima Faedah Pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan Faedah Pencen Penakat.

"Isteri mangsa layak menerima faedah ini seumur hidup manakala anak layak menerima faedah ini sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (mana yang lebih awal)," katanya.

Iklan

Menurut Mohd Azran pihaknya berharap dengan adanya Faedah Pencen Penakat dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga Orang Berinsuran dari segi kelangsungan hidup.

Beliau berharap Orang Asli dan asal yang bekerja di bawah 20 sektor agar berdaftar dengan Skim Pekerjaan Sendiri di bawah SPS Pandanan Caruman. Dimana Orang Bekerja Sendiri (OBS) hanya perlu membayar 20% (RM46.60) daripada kadar caruman RM 232.20 sahaja.

"OBS layak diberi perlindungan selama 12 bulan selepas bayaran tersebut diterima. Baki bayaran 80% (RM 186.20) akan dibiayai oleh Kerajaan," katanya.

Iklan

Sinar Harian pada 5 Oktober lalu melaporkan, mayat lelaki Orang Asli, Pisie Amud, 25, yang maut dipercayai dibaham harimau dalam kejadian di Pos Pasik ditemukan dalam keadaan tidak sempurna oleh anggota pasukan penyelamat.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan cakaran di leher mangsa dikatakan akibat cengkaman kuku harimau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pemeriksaan fizikal juga mendapati kaki sebelah kiri mangsa telah tiada dan mukanya dalam keadaan tidak sempurna kerana dipercayai dimakan binatang buas dipercayai harimau.