Penjana Kerjaya: Pemilik syarikat tidak mengaku kemuka dokumen palsu

Iklan
Mohd Yuzri (tengah) diiringi anggota SPRM menuju ke lokap mahkamah sementara urusan bayaran ikat jamin sebanyak RM18,000 selesai pada Isnin.

ALOR SETAR - Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu, bagi memperdayakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM231,340 pada 2021.Tertuduh, Mohd Yuzri Azhan Md Yusoff, 38, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah pada Isnin.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh sebagai pemilik syarikat didakwa memberikan suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja kepada pegawai perkhidmatan pekerjaan PERKESO Kedah melalui seorang wanita.Tindakan didakwa dibuat dengan niat hendak memperdayakan prinsipal pegawai tersebut iaitu PERKESO sedangkan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen dikemukakan itu mengandungi butir matan palsu.

Iklan
Iklan

Keenam-enam pertuduhan itu menyebut, senarai 16 pekerja yang dinyatakan dalam Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja dikemukakan tersebut, bukanlah pekerja syarikatnya.Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 Mei 2021, 25 Jun 2021, 4 Jun 2021, 5 Ogos 2021, 10 Ogos 2021 dan 21 Ogos 2021 di Pejabat PERKESO, Jalan Teluk Wan Jah, Kota Setar.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu, jika butir matan palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.Sementara itu, bagi enam pertuduhan pilihan pula, tertuduh melalui wanita sama didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikatnya untuk menuntut insentif sama.

Iklan

Menerusi keenam-enam pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh dan lokasi sama, melibatkan jumlah tuntutan sama.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salizawaty Abd Samad kemudiannya mencadangkan agar tertuduh dibenarkan diikat jamin pada kadar RM60,000 untuk semua pertuduhan.

Bagaimanapun peguam bela tertuduh, Nur Aida Md Zainuddin memohon jumlah tersebut dikurangkan kerana akaun anak guamnya telah dibekukan SPRM selain perlu menyara keluarga termasuk empat orang anak.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi semua pertuduhan, diarah melapor diri di Pejabat SPRM Perlis sebulan sekali dan menetapkan 9 November depan sebagai tarikh serahan dokumen.