Berjaga malam untuk tadah air

Iklan
Waini membuka paip air di rumahnya yang tiada bekalan air.

KUALA PERLIS - Lebih 100 keluarga dari empat kampung di negeri ini berdepan dengan masalah bekalan air yang berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Empat kampung yang terjejas itu ialah Kampung Seberang Tok Pi, Kampung Bahagia, Kampung Tanah Baru dan Kampung Bukit Tok Poh termasuk kawasan pesisiran pantai.

Iklan
Iklan

Penduduk, Zahid Mahmud, 76, berkata, masalah bekalan air ini sudah lama berlaku sehinggakan penduduk sudah berputus asa untuk membuat aduan.

"Kadangkala terpaksa berjaga malam semata-mata untuk menadah air. Kalau tak tadah, pagi esoknya mesti tiada air untuk mandi dan memasak. Tapi kadang-kadang air tiada juga waktu malam," katanya.

Iklan

Waini Junus, 51, pula berkata, bekalan air hanya akan ada pada jam 2 pagi dan mereka terpaksa mengorbankan masa tidur untuk menadah air.

Che Wa termenung mengenangkan dirinya yang tidak mampu mengangkut air.

"Segala aktiviti membasuh baju dan mencuci pinggan mangkuk perlu dilakukan pada jam 2 pagi. Memang rutin harian kami di sini sangat terganggu hanya kerana masalah air.

Iklan

"Tapai kadang-kadang air tiada langsung sampai tiga hari. Keadaan ini memang menyusahkan," katanya.

Bagi warga emas, Che Wa Othman, 70, berkata, kudratnya sebagai orang tua tidak mampu untuk mengangkut air.

"Nak angkut-angkut air macam orang lain saya sudah tidak larat. Badan dah tak kuat, tenaga tak macam orang lain," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Nor Azam Karap berkata, pihaknya sering menerima aduan berkaitan masalah air daripada penduduk.

Nor Azam berkata, Syarikat Air Perlis (SAP) perlu mengambil tindakan tegas bagi menyelesaikan masalah air di sini.

"Kita sudah tidak boleh terima alasan SAP yang mengatakan paip rosak, kurang peruntukan dan sebagainya. Kita tidak mahu dengar yang kita mahu masalah ini selesai," katanya.

Dalam pada itu, Exco Kemudahan dan Prasarana Awam dan Bukan Kerajaan Negeri, Hamizan Hassan berkata, kelewatan proses tender bagi projek Pengurangan Air Tidak Berhasil atau Non Revenue Water N-R-W sejak tahun 2018 memberi kesan kepada proses membaiki paip air secara keseluruhan di kawasan Kuala Perlis.

"Begitupun setiap aduan yang diterima berkaitan permasalahan air akan disiasat sebelum diambil tindakan.

"Sekiranya serius dan berlarutan, SAP akan membekalkan air melalui penghantaran lori ke kawasan yang terjejas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.