TUARAN - Pewujudan rumah perantaraan bagi bekas banduan diyakini dapat membantu mengurangkan jumlah residivis iaitu pelaku jenayah melakukan kesalahan berulang di negeri ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, secara keseluruhan terdapat 14 rumah pengantaraan diwujudkan dan dua daripadanya ada di Sabah.
Menurutnya, rumah perantaran yang dirasmikannya itu adalah sumbangan Yayasan Kebajikan Suria yang ditawarkan kepada Jabatan Penjara bagi membantu bekas penghuni penjara yang dibebaskan jika mereka menghadapi masalah diterima kembali oleh keluarga atau masyarakat.
"Jika bekas penghuni penjara ini dibiarkan tanpa perhatian, mereka mungkin terjebak kembali. Dengan adanya rumah pengantaraan sekurang-kurangnya paling asas ada tempat tinggal dan penjagaan.
"Tetapi rumah pengantaraan bukan sekadar itu saja, di sini nanti akan diisi dengan pelbagai program dan aktiviti yang paling penting untuk membina kemahiran mereka. Dari segi peribadi mereka telah diasuh sekian lama oleh Jabatan Penjara, di sini juga kita kekalkan. Cuma bezanya jasad mereka dulu dalam tembok, sekarang mereka bebas.
"Adanya rumah pengantaraan ini sangat membantu dari sudut jumlah mereka yang dibebas mengulangi semula (jenayah) yang kemudiannya berakhir di penjara, istilahnya residivis," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Perantaraan Tuaran di Kompleks Yayasan Kebajikan Suria, Kampung Panjut Berungis, dekat sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, rumah perantaraan itu mula beroperasi serta-merta dengan kapasiti 100 penghuni terdiri daripada bekas banduan lelaki manakala rumah perantaraan sedia ada bagi menempatkan wanita terletak di Kapayan, Kota Kinabalu.
"Data semasa residivis bagi mereka yang bebas di bawah parol, perintah kebebasan berlesen, peratusan yang terjebak kembali semula ke penjara bagi 800 yang dibebaskan hanya seorang yang kembali ke penjara.
"Ini bermaksud penempatan rumah pengantaraan ini peratusan yang mengulangi (jenayah) itu sangat kecil, kerana mereka ada pekerjaan, ada penjagaan, ada perhatian dan ada premis tempat tinggal selain kembali dengan baik sejurus selepas dibebaskan.
"Berbanding dengan residivis biasa iaitu penghuni yang tidak melalui sebab mereka tidak layak diparol dan sebagainya tetapi mereka bebas telah menjalani hukuman, kadar residivisi mereka adalah 18.6 peratus, itu tinggi," katanya.
Sehubungan itu, Saifuddin berkata, menerusi pewujudan rumah pengantaraan ini jelas menunjukkan bahawa pemegang taruh dalam kalangan masyarakat termasuk individu atau badan kebajikan boleh mengambil bahagian bersama Jabatan Penjara.
"Ini juga sekali gus membantu mengurangkan bebanan yang dibiayai kerajaan selain penghuni itu sendiri dapat menunjukkan rekod bahawa mereka boleh dipulihkan dan kembali ke dalam masyarakat," katanya.