PUTRAJAYA - Tiada penemuan menunjukkan syarikat penerbangan, MyAirlines Sdn Bhd (MYAirline) yang menggantungkan operasinya Khamis lalu berdepan dengan masalah kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, perkara tersebut hasil daripada audit keselamatan yang dijalankan terhadap MyAirlines pada 29 Mei hingga 1 Jun lalu bagi pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC).
"Sebagai sebahagian daripada proses audit keselamatan, pemegang AOC perlu menyediakan bukti kemampuan kewangan kepada CAAM.
"Ia bagi memastikan pengendali operasi udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, sekiranya timbul isu kewangan, pemberitahuan bertulis perlu diberikan segera kepada CAAM bagi memastikan tiada sebarang kompromi terhadap keselamatan operasi.
"Sehubungan itu, AOC syarikat penerbangan MyAirlines digantung selama 90 hari berkuat kuasa 16 Oktober 2023," jelasnya.
Dalam pada itu, Norazman berkata, tindakan itu dibuat mengikut Peraturan 193(3), Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 sementara menunggu siasatan lanjut oleh CAAM.
"Kelulusan AOC diberikan kepada pengendali operasi udara untuk terbabit dalam pengoperasian pesawat tertentu.
"Antara aspek utama yang dinilai untuk pemberian dan pembaharuan AOC adalah kemampuan pihak pengendali operasi udara untuk menjalankan pengoperasian yang selamat selaras dengan peruntukan,"katanya.
Menurutnya, penggantungan sementara operasi MYAirline bermula Khamis lalu tanpa permakluman awal kepada CAAM telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan awam dan integriti keseluruhan operasi penerbangan awam di Malaysia.
"Audit keselamatan terperinci akan dijalankan ke atas MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu," katanya.
Beliau berkata, sebarang pelanggaran peraturan oleh pemegang AOC akan diuruskan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CAD).
"CAAM mengingatkan semua pemegang lesen untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan selain memastikan pematuhan yang ketat," katanya.
Sebelum ini, MyAirline mengumumkan penggantungan operasi sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.