TANJUNG MALIM - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan terus mengkaji sama ada terdapat keperluan meneruskan penggubalan Rang Undang-Undang Jerebu Rentas Sempadan bagi menangani krisis jerebu di negara ini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana penggubalan rang undang-undang berkenaan yang pernah dicadang sebelum ini berdepan beberapa kekangan termasuk perjanjian di peringkat negara-negara ASEAN.
"Kita juga tengok pengalaman negara yang sudah ada berkaitan RUU itu, seperti di Singapura, ada beberapa kekangan bila nak buat perundangannya dan kita tengok juga tengok contoh yang paling berjaya adalah perjanjian yang dipanggil Air Quality Agreement antara Kanada dan Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Transformasi Siswa Madani Perak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Rang Undang-Undang Jerebu Rentas Sempadan pernah dicadang oleh NRECC sebelum ini ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 namun tidak diteruskan di bawah Kementerian Alam Sekitar (KASA) apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.
Nik Nazmi berkata, kementerian juga melihat kepada usaha penambahbaikan Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) dengan memasukkan peruntukan berkaitan hukuman ke atas pihak yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.
Beliau berkata, isu jerebu sentiasa dibincang dalam mesyuarat sub-regional Asean yang diadakan setiap tahun, namun ia belum cukup memuaskan dan tidak menyelesaikan isu jerebu rentas sempadan.
"Jadi kita akan cuba lihat semua pilihan termasuk perjanjian atau RUU jerebu rentas sempadan ataupun perjanjian memperbaiki AATHP sebagai penyelesaian kepada masalah jerebu selaras dengan matlamat Asean untuk menjadi bebas jerebu menjelang 2030,"katanya.
Mengulas mengenai keadaan jerebu negara, Nik Nazmi berkata, jerebu kali ini terkawal dan tidak seteruk pada 2019.
Walaupun mengakui terdapat peningkatan kes kesihatan berkaitan jerebu namun katanya curahan hujan dan langkah-langkah kawalan yang diambil syarikat perladangan membantu meminimumkan impak jerebu.
Sementara itu, kira-kira 3,500 pelajar baharu UPSI telah menyertai program Semarak Transformasi Siswa Madani Perak.
Objektif program berkonsep penerangan itu ialah menjelaskan mengenai konsep MADANI yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencapai visi konsep berkenaan dalam melahirkan masyarakat maju dan terampil. - Bernama