KUALA LUMPUR - MYAirline akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas 125,000 penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat penerbangan berkenaan.
Eksekutif Bertanggungjawab Sementara MYAirline, Datuk Seri Azharuddin A Rahman berkata, kira-kira RM22 juta tambang tiket penerbangan akan dibayar semula secara berperingkat kepada semua penumpang yang terjejas.
Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah menerima 18,000 e-mel daripada penumpang untuk menuntut pembayaran balik tiket penerbangan.
Azharudin turut memohon maaf kerana tidak bersikap lebih telus dengan pelanggan mereka sehingga menyebabkan ribuan terkandas di lapangan terbang baru-baru ini.
"Kami mengakui dan memahami kekecewaan yang dialami oleh penumpang kami. Keadaan ini timbul kerana kekurangan pelan kontingensi kami, ditambah lagi dengan penarikan pelabur saat akhir,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabatnya pada Isnin.
Azharudin berkata, MYAirline juga mengakui kelemahan komunikasinya dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berikutan kegagalan untuk berhubung dengan pihak berkuasa itu dan penumpang sebelum memutuskan untuk menggantung operasinya buat sementara waktu.
"Kami mengeluarkan notis penggantungan pada 5.30 pagi Khamis. Walaupun kami membatalkan penerbangan pagi pada Khamis dengan segera, kami mengakui bahawa beberapa penumpang pada penerbangan kemudian sudah berada di lapangan terbang, dan ini merupakan kesilapan di pihak kami,” ujarnya.
Mengenai nasib kakitangan syarikat penerbangan itu, Azharuddin berkata, kebajikan kakitangan tetap menjadi keutamaan dan sebaik pembiayaan diperoleh, mereka akan mengutamakan pembayaran berkanun dan gaji September.
Beliau menegaskan bahawa semua kakitangan kekal di bawah penggajian MYAirline, tanpa sesiapa pun yang diberi cuti tanpa gaji atau diberhentikan kerja sehingga kini.
Syarikat penerbangan itu juga berkata, mereka telah bertemu dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memaklumkan mengenai perkara itu.
Azharuddin dalam pada itu turut mengesahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Sementara, Stuart Cross telah meletakkan jawatan.
"Semua penumpang MYAirline terjejas boleh menghubungi customercare@myairline.my untuk memulakan proses bayaran balik.
"Kami telah mewujudkan talian hotline di 03-8966 2522, beroperasi dari jam 7 pagi hingga 6 petang setiap hari, bagi memudahkan proses pembayaran balik dan memberi bantuan mengikut keperluan,” jelasnya.