'Apungkan harga beras putih tempatan'

Iklan
Kerajaan dicadangkan mengapungkan harga beras putih tempatan iaitu tidak menyekatnya dengan harga siling RM2.60 setiap kg. Gambar kecil: Johari

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadangkan mengapungkan harga beras putih tempatan iaitu tidak menyekatnya dengan harga siling RM2.60 setiap kilogram (kg).

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan, tindakan melepaskan harga kawalan kepada pasaran akan membantu menstabilkan semula bekalan beras putih tempatan dalam pasaran untuk tempoh jangka pendek dan sederhana.

Iklan
Iklan

Katanya, sebarang kesan kenaikan harga beras putih tempatan kepada kumpulan berpendapatan rendah dan menengah rendah boleh dikurangkan dengan kerajaan menambah bantuan tunai terus kepada kumpulan yang terjejas itu.

"Terlalu banyak kesan negatif kawalan harga ke atas semua peringkat bekalan beras dalam negara," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, bekas Menteri Kewangan II itu mendakwa, kawalan harga yang dibuat menggalakkan pengilang untuk menyorokkan stok beras mereka dan tidak membungkus serta mengedarkannya kepada pemborong.

"Jika kawalan harga ini dapat dilepaskan, saya yakin isu stok beras disorok tidak akan timbul.

Iklan

"Jika kerajaan tidak mahu harga beras putih tempatan naik keterlaluan dengan peniaga mengambil untung berlebihan, kerajaan bolehlah memastikan perkara ini tidak berlaku melalui kawalan antipencatutan yang memantau pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga," syornya lagi.

Ujarnya, ketika ini berlaku perbezaan harga yang begitu ketara antara harga beras putih import dengan dengan harga beras putih import yang dikawal harganya pada kadar RM26 setiap kampit 10kg yang menjadi punca kekurangan beras putih tempatan dalam pasaran.