PELAWAK yang juga adik-beradik, Sharif dan Syaiful tidak menyangka memenangi minggu pertama program Famili Duo musim ketiga yang berlangsung Ahad lalu.
Memenangi hadiah wang tunai RM10,000, Sharif atau nama sebenarnya Sharif Kadir Doli Sharif, 33, berhasrat untuk mendermakan wang kemenangan itu ke tabung Palestin.
"Bersaing dengan nama-nama besar buatkan kami rasa gementar juga, tetapi tidak sangka kami berjaya menambat hati juri dan penonton di rumah.
"Cuma kami ada terdetik, sekiranya menang, kami akan sumbang duit ini kepada saudara di Palestin," ujarnya.
Sharif berkata demikian ketika ditemui selepas konsert minggu pertama Famili Duo musim ketiga (FD3) di Studio NTV7, Glenmarie Shah Alam pada Ahad.
Mengulas penglibatannya dalam program itu, Sharif berkata, adik mereka, Atu yang mula-mula mengajaknya menyertai Famili Duo pada musim lalu.
Bagaimanapun dek keterbatasan waktu, dia terpaksa menolak tawaran itu.
"Kemudian saya ajak pula Atu sertai program ini selepas dapat tahu FD3 akan bermula tidak lama lagi, tetapi Atu suruh saya ajak abangnya, Syaiful.
"Mungkin dia lihat musim lepas bagaimana konsep penjurian, jadi dia percaya Syaiful lebih layak untuk sertai bersama saya," katanya yang memperoleh markah 55.4 peratus.
Tidak hanya sekadar suka-suka, Sharif berkata, mereka bertiga sudah merakam sebuah single dan akan melancarkannya sebaik program FD3 berakhir.
"Kami masih menanti masa yang sesuai untuk melancarkan single itu dan saya kira, selepas FD3 adalah masa yang terbaik," katanya yang memilih tema cinta pada minggu kedua.
Pada minggu pertama, Shila dan adiknya, Syahir berada di tempat kedua dengan markah 49.1 peratus diikuti Ryan dan Adam Bakery (42.2 peratus), Tom dan Fuad (41.3 peratus), Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (37.8 peratus) serta Adira dan Ema Suhaimi (36.2 peratus).
FD3 bersiaran langsung setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.