India panggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, bantah kenyataan Tun M

Iklan
Jumaat lalu, Dr Mahathir sewaktu berucap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 mengkritik penggubalan undang-undang baharu CAA oleh kerajaan India.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan India memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia semalam susulan kritikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap penggubalan undang-undang baharu kewarganegaraan negara itu yang disifatkan tidak betul dan memudaratkan.

Memetik laporan akhbar Times of India, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia itu dipanggil untuk dimaklumkan bantahan kerajaan India yang menganggap kritikan Dr Mahathir terhadap Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) adalah tidak tepat dan tidak sensitif.

Iklan
Iklan

Seorang pegawai rasmi kerajaan India dipetik berkata, kenyataan Dr Mahathir tidak selaras dengan amalan diplomatik yang menetapkan tiada campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain serta hubungan dua hala.

"Kenyataan itu sama sekali tidak bermaklumat dan tidak sensitif.

Iklan

"Malaysia diminta mengambil pandangan jangka panjang dan strategik mengenai hubungan dua hala," kata laporan akhbar negara India itu yang memetik sumber-sumber tidak dinamakan.

Jumaat lalu, Dr Mahathir sewaktu berucap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 mengkritik penggubalan undang-undang baharu CAA oleh kerajaan India.

Iklan

"Saya kesal melihat India, yang mendakwa merupakan sebuah negara sekular, kini mengambil tindakan untuk menafikan hak kewarganegaraan sebilangan rakyatnya beragama Islam...ramai yang menderita disebabkan undang-undang ini," dakwanya.

Undang-undang baharu itu turut didakwa sebagai langkah kerajaan nasionalis Hindu untuk meminggirkan penganut Islam.

Kenyataan itu kemudiannya dibalas Kementerian Luar negara India yang menyifatkannya tidak tepat selain menggesa Malaysia tidak mengulas perkembangan dalaman di India 'tanpa pemahaman fakta yang jelas'.

Kerajaan India berkata, CAA adalah untuk membantu minoriti bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan yang datang ke India sebelum tahun 2015 dengan memberikan mereka kerakyatan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dalam kenyataan balas menolak kritikan India dan menjelaskan beliau hanya menyuarakan pendapatnya apabila mempersoalkan keperluan undang-undang itu.

Dalam pada itu, penunjuk perasaan berkata, pengecualian terhadap orang Islam itu menunjukkan diskriminasi komuniti itu, yang membentuk 14 peratus daripada penduduk India.

Undang-undang baharu itu turut didakwa sebagai langkah kerajaan nasionalis Hindu untuk meminggirkan mereka.

Laporan media India turut mendedahkan aktiviti tunjuk perasaan yang berterusan di seluruh negara terhadap CAA di India juga kini bertukar menjadi ganas dan sudah meragut 17 nyawa.