KUALA LUMPUR - Isu kos sara hidup, masalah kesesakan banduan dalam penjara dan status terkini perkembangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara isu yang menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu kos sara hidup dibangkitkan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menerusi sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rosol mahukan penjelasan tentang jaminan kerajaan bahawa langkah mengapungkan harga ayam dan telur tidak akan membebankan rakyat yang sedang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.
Sementara itu dalam sesi soal jawab lisan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) bertanyakan tentang langkah bagi mengatasi isu kesesakan banduan di dalam penjara serta program yang dikenal pasti untuk membantu bekas golongan itu meneruskan kehidupan mereka supaya tidak terjejak kembali dalam dunia jenayah.
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) pula dijadual akan bertanyakan kepada Menteri Pengangkutan mengenai status terkini perkembangan projek, bilangan syarikat tempatan dan syarikat luar yang terlibat dan adakah terdapat implikasi kewangan tambahan yang terkini bagi projek ECRL.
Dalam sesi sama, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta Menteri Kesihatan menyatakan perancangan kementerian untuk membeli vaksin HPV, jenis vaksin yang dibeli dan jangka masa untuk memastikan mereka yang tercicir terutamanya pada zaman Covid-19 mendapat vaksin yang diperlukan.Persidangan hari ini juga akan menyambung sesi perbahasan hari kedua Belanjawan 2024, selepas ia dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lepas.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 itu akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Oktober.
Ahli-Ahli Parlimen kemudian akan mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang berkenaan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 November.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober hingga 30 November ini. - Bernama