PETALING JAYA - Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah treler dalam kejadian di di Kilometer 23.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dekat sini pada Selasa.
Mangsa, Mohammad Hanafi Mohammad Khalipah, 30, berasal dari Taman Matang Jaya, Sungai Buloh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa dipercayai menunggang motosikal seorang diri dalam kejadian yang berlaku dari arah Kota Damansara menghala Jalan Duta, Kuala Lumpur.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dengan kekuatan seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 6.45 pagi.
"Kejadian melibatkan motosikal jenis Yamaha LC dengan sebuah treler yang mana melibatkan mangsa seorang lelaki warga tempatan yang tersepit bawah tayar treler terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.
"Mangsa dipercayai meninggal dunia berdasarkan pemeriksaan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.