SHAH ALAM - PASRelief mengecam sekeras-kerasnya serangan Zionis Israel ke atas rakyat di Palestin. Serangan rejim Israel semakin mengganas dan biadab apabila menyasarkan orang awam yang kebanyakannya dari golongan wanita dan kanak-kanak.
Tentera rejim Zionis bertindak lebih biadab apabila menggunakan bom fosforus putih yang mana ia adalah diharamkan di peringkat antarabangsa.
Antara yang menjadi sasaran bom zionis Israel juga adalah bangunan awam termasuklah bangunan Kementerian Buruh yang dibina oleh PASRelief.
Menurut Pengarah PASRelief, Mohd Yusni Mat Piah, bangunan Kementerian Buruh yang dibina hasil usaha dan sumbangan dari rakyat Malaysia turut terkesan oleh serangan rejim zionis.
Katanya, bangunan berkenaan mula dibangunkan pada 15 Januari tahun ini dan baru sahaja disiapkan pada bulan Ogos lepas dengan jumlah kos RM 1.1 juta.
"Pagi kelmarin, PASRelief menerima khabar dari Palestin bahawa bangunan Kementerian Buruh yang baru siap dan tidak sempat pun digunakan lagi itu turut terkesan oleh serangan manakala bangunan Kementerian Buruh yang lama di sebelahnya telah musnah menyembah bumi.
"Bangunan baru yang bakal dijadikan tempat rakyat Palestin mencari rezeki kini sudah rosak dan tidak dapat digunakan lagi,” katanya.
Namun jelas Mohd Yusni, PASRelief bertekad untuk terus kembali mengumpulkan dana secukupnya bagi membaik pulih semula bangunan Kementerian Buruh tersebut dengan lebih baik untuk dimanfaatkan oleh rakyat Palestin.
Ujar beliau, mereka juga menyeru kepada semua untuk turut bersama merebut ruang dan peluang ini menyumbang dalam menambah baik pulih bangunan tersebut. Segala bentuk sumbangan boleh disalurkan melalui Tabung Kemanusiaan PASRelief.