Lembaga PDC tamatkan usaha sama dengan UMECH Land

Iklan
Bangunan PDC - Foto www.pdc.gov.my

GEORGE TOWN - Lembaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memandang serius perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land Sdn Bhd dalam isu pembelian tanah di Byram, Batu Kawan.

Sehubungan itu, PDC dalam satu kenyataannya berkata, perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn Bhd telah ditamatkan.

Iklan
Iklan

Menurut PDC, perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land Sdn Bhd itu juga disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak boleh diterima.

"Perubahan majoriti struktur syarikat sehingga berlaku perubahan pihak yang mengawal dan menerajui projek yang dilaksanakan tanpa memaklumkan dan mendapat kelulusan PDC secara rasmi adalah satu isu yang dipandang serius dan tidak boleh diterima oleh Lembaga PDC.

Iklan

"Oleh itu, Lembaga PDC memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn Bhd.

"Pemberian notis tiga bulan berdasarkan klausa 19 Perjanjian Usahama PDC-UMECH Land Sdn Bhd juga telah dijalankan," katanya pada Selasa.

Sebelum ini, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang membangkitkan isu proses tender penjualan tanah milik kerajaan negeri di Byram, Seberang Perai Selatan selain mempersoalkan mengapa syarikat tempatan dikatakan tidak diberi peluang untuk turut serta dalam proses itu.

Iklan

Oleh yang demikian, selepas penamatan kontrak, PDC diarahkan untuk mengiklankan secara meluas dengan menggunakan pelbagai saluran media massa melalui Request For Proposal (RFP).

"Ia melibatkan cadangan kolaborasi dengan pihak PDC memajukan Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2).

"RFP ini akan diiklankan oleh PDC dalam masa terdekat bagi menarik pelabur yang berminat," katanya lagi.

Dalam pada itu, Lembaga PDC mengesahkan bahawa proses pemilihan syarikat UMECH Land Sdn Bhd dalam pembelian tanah di Batu Kawan itu dijalankan dengan telus, selain proses pemilihan syarikat itu termasuk penetapan sumbangan tunai, jadual bayaran kepada PDC adalah selaras dengan dasar pihaknya.

"Lembaga PDC juga mengambil maklum bahawa kolaborasi ini adalah munasabah dan memberi impak positif kepada aliran tunai PDC termasuk dari aspek komersial dan faedah kepada pembangunan Pulau Pinang," katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam satu kenyataannya telah mempertahankan urus niaga menerusi rundingan terus yang dimeterai dengan UMECH Construction.

Kon Yeow berkata, PDC telah membawa cadangan projek Taman Perindustrian di Byram ke Expo Dubai 2020 untuk mendapatkan pelabur yang berminat.

Ini kerana katanya, pembangunan kawasan itu berdepan dengan pelbagai halangan terutama faktor lokasinya yang berdekatan dengan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, laluan lori-lori sampah, kos penyediaan infrastruktur yang tinggi dan sebagainya.

Kata Kon Yeow, kekangan yang dihadapi itu menyebabkan usaha-usaha promosi menarik pelabur adalah sangat mencabar.

Menurut Kon Yeow lagi, kerajaan negeri telah membuat pengumuman di media dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dalam usaha untuk menarik pelabur dalam dan luar negara untuk projek tersebut.

Dia berkata, ketika Expo Dubai 2020, UMECH Construction menyuarakan minat untuk melabur dalam projek itu yang mana selepas perbincangan, PDC yakin syarikat itu memiliki sumber kewangan untuk melaksanakannya.