MARANG - Tiada kenaikan harga ikan di negeri ini walaupun berdepan musim tengkujuh, kata Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim.
Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima mendapati harga ikan menurun dan situasi tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Sekarang saya mendapat maklum balas harga ikan sudah turun di mana ikan selayang sudah boleh dibeli dengan harga RM10 bagi tiga kilogram.
"Ia merupakan suatu yang tak pernah berlaku bagi tempoh agak lama untuk konteks di Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar Program Melabuh Tukun Tiruan X-To-Reef di Jeti Pelancongan di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Azman berkata, tangkapan ikan meningkat pada musim tengkujuh kerana jumlah ikan akan lebih banyak terutama di tangkapan zon A dan zon B.
"Bulan September, Oktober dan November ialah musim tangkapan meningkat. Musim ini ikan dari perairan laut dalam akan hampir ke pesisir pantai.
"Jadi ia fenomena yang biasa (spesies ikan laut dalam banyak) berlaku pada musim tengkujuh. Sebab itu kita sangat menitikberatkan supaya tidak berlaku kaedah tangkapan yang merosakkan sumber di kawasan pesisir pantai ketika musim berkenaan," ujarnya.
Dalam pada itu, Azman menyatakan penurunan harga disebabkan peningkatan jumlah pendaratan ikan sebanyak 99 peratus di Terengganu pada tahun ini berbanding tahun lepas.
"Sebanyak 70 peratus daripada peningkatan tersebut (99 peratus) disumbang oleh hasil tangkapan nelayan zon A dan zon B iaitu jarak lima hingga 12 batu nautika dari pantai atau pulau.
"Sebab itu, kita fokus pada program memperkayakan perikanan di zon A dan zon B," jelasnya.