LONDON - Seorang pemandu syarikat penghantaran barang UPS meninggal dunia selepas disyaki mengalami serangan jantung di depot UPS di Essex Rabu lalu.
Paul Crush, 42, meninggal dunia selepas 12 jam bekerja menghantar 240 bungkusan hadiah sempena Krismas dan dipercayai telah menghantar lebih daripada 200 kotak hadiah sehari sejak enam minggu lalu.
Crush yang berasal dari Chelsford, Essex dengan gaji sekitar £30,000 setahun itu meninggalkan seorang isteri Tracey, 40.
Kebiasaannya pekerja hanya menghantar kira-kira 100 bungkusan sehari tetapi menjelang sambutan Krismas angka itu meningkat lebih dua kali ganda sejak enam minggu yang lalu.
Menurut rakan Crush, bapa kepada dua orang anak berusia antara lapan dan empat tahun itu diibaratkan telah 'bekerja sampai mati'.
"Saya lihat dia minum kopi seperti biasa sebelum memulakan kerjanya dan kelihatan letih. Dia mengakui agak sukar bangun dari katil tetapi nampak ceria seperti biasa.
"Itulah masalah yang dihadapinya dan dia adalah seorang pekerja yang tidak akan membantah jika ada kerja tambahan. Dia meninggal kerana sebab-sebab semula jadi tetapi teman-teman rapatnya tahu bahawa dia seorang yang kuat bekerja," katanya.
Sementara itu, UPS dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya sangat sedih kerana kehilangan seorang pekerja yang berdedikasi dan turut membuka satu dana bagi membantu keluarga Crush. - Agensi.