TEMERLOH - Tiga buah masjid di negeri ini mendapat manfaat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui tajaan pemasangan pili cekap air yang dilihat mampu mengurangkan hingga 50 peratus penggunaan bekalan tersebut berbanding pili konvesional.
Pengerusi Jawatankuasa Perlindungan dan Pendidikan Pengguna SPAN, Muhammad Sha'ani Abdullah memberitahu, tiga masjid terlibat iaitu Masjid Negeri Pahang (Sultan Ahmad 1) Kuantan, Masjid Al Rahmat Felda Lembah Klau, Raub dan terbaharu Masjid Abu Bakar, Mentakab.
Berhubung pemasangan pili cekap air di Masjid Abu Bakar, Mentakab, beliau memberitahu sebanyak 60 pili cekap air akan dipasang di masjid tersebut.
"Pili cekap air berlabel tiga bintang akan mengeluarkan sejumlah 1.5 liter sehingga maksimum empat liter air untuk setiap seminit berbanding lapan hingga 10 liter untuk pili konvensional," kata beliau ketika ditemui sempena Program CSR anjuran SPAN dan pengurusan Masjid Abu Bakar, Mentakab pada Isnin.
Hadir sama, Anggota Suruhanjaya SPAN, Azrina Surip; Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang, Syed Ana Ruhaizat Syed Alwi; Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Fazil Ismail dan Pengerusi Masjid Abu Bakar, Abdul Aziz Abdul Karim.
Mengulas lanjut Muhammad Sha'ani berkata, inisiatif SPAN itu dibuat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan sejak 2017 iaitu menaja penggunaan produk-produk cekap air di premis tumpuan termasuk surau dan masjid di Semenanjung Malaysia.
"Kalau boleh saya kongsikan, data penggunaan di masjid-masjid yang telah ditaja sebelum ini mendapati terdapat pengurangan penggunaan air sekitar 50 peratus berbanding penggunaan menggunakan pili biasa.
"Ini adalah satu penjimatan yang amat menggalakkan dan ia adalah dalam membantu melestarikan perkhidmatan dan bekalan air," katanya.
Beliau yang juga Anggota Suruhanjaya SPAN memberitahu, sebanyak 16 masjid di Semenanjung Malaysia telah terlibat dalam penukaran pili terbabit setakat ini dengan purata 30 pili setiap masjid.
"Antara negeri yang terlibat dengan aktiviti ini adalah Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Melaka.
"Pada 2022 pula, pihak IWK telah menjalankan aktiviti pembaikan tandas-tandas di 485 rumah-rumah ibadat yang turut melibatkan penukaran pili cekap air di premis tandas," tambah beliau.
Sebelum ini, pada 2013, Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) diperkenalkan dengan objektif bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kewujudan produk-produk cekap air di pasaran seterusnya menggalakkan gaya hidup hijau dengan penggunaan produk tersebut.
Terdapat lima produk yang terdapat di bawah SPPCA iaitu pili air, pancuran mandi, tangki tandas dua simbahan, peralatan urinal dan mesin basuh.