Austria raih slot Euro 2024

Iklan
Sabitzer (kiri) menyumbat gol tunggal untuk membantu Austria meraih slot Euro 2024 di Jerman tahun depan. Foto AFP

PEMAIN tengah Borussia Dortmund, Marcel Sabitzer meledak gol tunggal untuk membantu Austria layak ke Euro 2024 selepas menundukkan Azerbaijan 1-0 di tempat lawan awal pagi Selasa.

Kejayaan tersebut memastikan Austria beraksi dalam saingan kejohanan Eropah itu buat kali ketiga berturut-turut di Jerman tahun depan.

Iklan
Iklan

Pasukan bimbingan Ralf Rangnick bangkit selepas tewas 2-3 di tempat sendiri kepada Belgium minggu lalu.

Kemenangan itu meletakkan Austria di tangga kedua teratas Kumpulan F di belakang Belgium.

Iklan

Dalam aksi itu, Sabitzer menyempurnakan sepakan penalti tiga minit selepas masuk selaku pemain gantian pada babak kedua perlawanan.

Penalti itu diperoleh selepas sepakan percuma Sabitzer terkena tangan pemain Azerbaijan.

Iklan

Jaringan keempatnya dalam kempen kelayakan dan sepakan penalti kedua dalam tempoh empat hari sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat Austria ketika Tural Bayramov terlepas peluang lewat permainan bagi menyamakan kedudukan buat Azerbaijan.

Austria menamatkan saingan dengan 10 pemain apabila Guido Burgstaller dibuang padang selepas mengutip dua kad kuning pada masa kecederaan.

Kemenangan kelima dalam tujuh perlawanan menyaksikan Austria 10 mata di depan Sweden di tangga ketiga yang perlu melalui aksi play-off untuk mengelak daripada gagal layak buat kali pertama sejak Euro 1996.

Austria ketika ini berkongsi 16 mata dengan Belgium tetapi sudah beraksi tujuh perlawanan berbanding pendahulu kumpulan itu yang kurang satu aksi dan belum tewas.