PERSATUAN Bola Sepak Malaysia sentiasa mencari cara untuk menambah baik prestasi pasukan kebangsaan termasuk dengan cara bertukar pendapat bersama bekas pemain yang juga legenda negara.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perjumpaan dengan legenda negara itu membuka banyak percambahan idea yang akan diguna untuk memajukan Harimau Malaya.
"Sempena memperingati jasa wira negara ini dan seiring dengan final Pestabola Merdeka, saya satukan legenda dan pemain sekarang agar kita dapat sama-sama mendapatkan buah fikiran dalam menaikkan lagi prestasi dan mutu bola sepak negara khususnya Harimau Malaya.
"Selain berpeluang beramah mesra dan saling mengenali antara satu sama lain, sesi ini membuka ruang untuk setiap bekas pemain yang hadir termasuk jurulatih Kim Pan Gon menyuarakan pandangan secara telus dan terbuka dalam usaha bersama memajukan serta memperbaiki lagi prestasi Harimau Malaya.
"Perbincangan menghimpunkan bekas pemain iaitu legenda bersama pemain sekarang ini adalah yang pertama kali diadakan, hasilnya sangat bernas dengan masing-masing berkongsi tips dan idea dan kami akan mengguna pakai pandangan mereka untuk memperbaiki Harimau Malaya," katanya dalam satu kenyataan.
Perjumpaan itu direalisasikan menerusi sesi khas makan malam yang diadakan di hotel penginapan skuad Harimau Malaya, pada Isnin.
Seramai 16 bekas pemain Harimau Malaya yang hadir iaitu Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Ann, Datuk Hassan Sani, Bakri Ibni, Datuk Jamal Nasir, Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk K Rajagobal, Datuk Subadron Aziz, Azman Adnan, Ahmad Shahrul Azhar, Datuk Dollah Salleh, Malek Rahman, Reduan Abdullah, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Shukor Adan hadir ke perjumpaan itu.
Hamidin berkata, Kim Pan-gon dan pemain kebangsaan berpeluang berada di bawah satu bumbung bersama legenda negara yang suatu ketika dahulu penuh inspirasi dengan semangat juang yang sangat tinggi.
"Kebanyakan pemain legenda malam ini pernah beraksi di Pestabola Merdeka.
"Lantaran itu, selaku pemain veteran sesi malam ini secara langsung dapat mengimbau kembali kenangan lama ketika mereka mewakili skuad negara dahulu," katanya.
Pestabola Merdeka adalah saingan dinantikan peminat bola sepak tanah air suatu masa dulu yang mana pernah dianggap sebagai 'Grand Old Lady of Asia' ekoran adalah kejohanan bola sepak Asia tertua.