KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu akan menyerahkan senarai nama kepada kepimpinan pusat untuk menentukan calon yang akan bertanding mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, pada 2 Disember depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, terdapat beberapa calon yang telah disaring dan difikirkan sesuai untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan tertinggi parti berkenaan.
"Persiapan untuk menghadapi PRK juga telah diperincikan dalam mesyuarat yang akan diatur oleh UMNO pusat tidak lama lagi.
"Soal strategi kempen, calon dan lain-lain persiapan akan dibuat hasil perbincangan itu nanti dan UMNO negeri akan memastikan semua strategi kempen itu berjalan dengan lancar," katanya ketika dihubungi, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, pihaknya juga telah menyusun persediaan untuk berdepan sebarang kemungkinan banjir sepanjang tempoh tersebut.
"Kita juga sedang membuat persediaan rapi untuk persediaan banjir. Ia bagi memastikan kempen dapat dijalankan dan pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada 2 Disember itu," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Kemaman dijadualkan pada 18 November depan, hari mengundi awal pada 28 November dan hari mengundi pada 2 Disember.
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu, membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.