ALOR SETAR - Masalah kesesakan komuter di sektor utara terutama membabitkan laluan di Kedah diharap dapat diselesaikan segera berikutan jumlah penumpang yang semakin meningkat.
Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi mengatasi masalah itu terutama pada musim cuti persekolahan.
Menurutnya, perkara itu sudah dikemukakan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hujung tahun lalu dengan mencadangkan tambahan gerabak komuter namun belum dilaksanakan dipercayai kekangan kewangan.
"Saya akan cuba bertemu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selewat-lewatnya pada Januari depan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Azman berkata, pengangkutan awam seperti komuter semakin menjadi pilihan masyarakat kerana menjimatkan selain mudah dan pantas menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.
"Sebenarnya banyak lagi masalah lain yang perlu diberikan perhatian selain kesesakan penumpang di dalam komuter termasuk sistem tiket yang dilihat perlu dibaiki.
"Difahamkan ada penumpang yang memanipulasikan sistem tiket ini apabila membeli tiket di kawasan lain dan turun di kawasan lain. Masalah ini juga sebenarnya turut merugikan pihak KTMB," katanya.