KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan khabar angin konon lebih ramai wakil rakyat Pas bakal menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perang psikologi yang dimainkan pihak musuh.
Yang Dipertua DUN Kelantan itu berkata, dalam sejarah Pas, belum ada kalangan wakil rakyatnya yang ‘lari’ daripada parti, prinsip atau pendirian parti itu.
Malah beliau menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang karut.
"Berita itu mengarut. Kalau parti lain saya tak tahu tetapi saya rasa setakat ini, dalam kalangan wakil rakyat PN (Perikatan Nasional) tidak akan pergi. Pas lagilah, tak pergi.
"Lebih kepada perang psikologi, musuh apabila rasa tergugat, maka mereka sebarlah berita kononnya kita nak lari. Sebenarnya mengikut maklumat, orang mereka yang sedang mencari jalan (untuk lari) dan kita yang sebenarnya menunggu orang BN menyokong kita,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu ketika ditemui semasa program ziarah di sekitar DUN Panchor di sini, pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk menyokong kepimpinan Anwar.
Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Mengulas perkara itu, Mohd Amar berpendapat isu tersebut tidak hanya menguntungkan Pakatan Harapan (PH) kerana dari satu segi mungkin menguntungkan PN jika Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan jawatan wakil rakyat berkenaan tidak gugur.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak pasti sama ada tindakan Iskandar Dzulkarnain itu melanggar Akta Anti Lompat Parti atau tidak kerana perlu ditafsir dan diputuskan di peringkat Parlimen.
"Tetapi mengikut teori saya, katalah Speaker buat keputusan jawatan Kuala Kangsar tidak gugur kerana hanya beri sokongan kepada Perdana Menteri tetapi tidak keluar parti.
"Maknanya wakil rakyat BN juga boleh beri sokongan kepada PN dengan tidak keluar parti. Jadi kita tengoklah apa akan berlaku nanti,” katanya.