Bayi maut di taska: Polis rakam keterangan enam saksi

Iklan
Laporan Sinar Harian.

PETALING JAYA - Enam individu termasuk kakitangan taska serta ibu bapa kepada bayi yang meninggal dunia di sebuah taska di Petaling Jaya, Selasa lalu telah dirakam keterangan setakat ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan lanjut berkaitan kejadian ini masih dijalankan pihaknya.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, enam individu telah dirakam keterangan dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Polis juga masih menunggu laporan lengkap daripada pihak patologi berkaitan punca kematian mangsa," katanya menerusi kenyataan ringkas kepada media pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, orang ramai diminta agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kejadian.

"Beri ruang kepada polis untuk jalankan siasatan dan diminta orang ramai tidak timbulkan sebarang spekulasi yang boleh jejaskan siasatan berkaitan kejadian," katanya.

Iklan

Pada Sabtu, media melaporkan bayi berusia dua bulan itu maut dipercayai ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah taska.

Difahamkan, kejadian itu menimpa Qaseh Aulia Faizul pada hari kedua dia dihantar ke taska terbabit.

Seorang pengasuh di taska terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.

Bagaimanapun, wanita berumur lewat 40an itu dibebaskan dengan jaminan polis, selepas dirakam percakapan.