Lelaki Rohingya maut ditikam rakan

Iklan
Polis mengangkat mayat mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh di Kampung Melor Lama.

KOTA BHARU - Seorang lelaki etnik Rohingya ditemui mati dalam sebuah kebun jagung di Kampung Melor Lama dipercayai ditikam rakannya dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi Selasa.

Jiran suspek, Tengku Nur Ayunie Tengku Ismail, 29, memberitahu tidak menyedari kejadian berkenaan sehingga nampak suspek memegang pisau dipenuhi darah di hadapan rumah yang disewanya.

Iklan
Iklan

Menurut Tengku Nur Ayunie, sebelum kejadian kira-kira jam 8.00 pagi, dia nampak basikal bekas penyewa rumah yang juga etnik Rohingya berada di hadapan kediaman berkenaan.

"Kami kenal lelaki itu kerana dia pernah menyewa di rumah sama kira-kira tiga tahun lalu tetapi kini sudah berpindah ke tempat lain.

Iklan

"Tidak lama kemudian, saya dengar bunyi teriakan yang kuat dan pergaduhan mulut dalam bahasa asing kerana rumah kami hanya bersebelahan sahaja," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanapun jelasnya, pergaduhan mulut selama sepuluh minit terhenti dan kira-kira jam 8.30 pagi, dia nampak suspek yang juga baru tiga bulan menyewa rumah berkenaan memegang pisau dengan tangan berlumuran darah serta dalam keadaan bingung.

Iklan
Pasukan polis tiba untuk siasatan di rumah sewa suspek di Kampung Melor Lama.

Ketika itu kata Tengku Nur Ayunie, beberapa jiran menegur dan memintanya meletakkan pisau kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

"Kami terus menghubungi polis manakala suspek yang mungkin dalam usia 30-an itu pula terus masuk ke dalam rumah," jelasnya.

Tambahnya lagi, suspek yang dipanggil 'mamu' dalam kalangan rakan-rakan dan kenalannya menyewa di rumah itu bersama isteri.

"Dia tidak pernah menegur dan bergaul dengan jiran-jiran sepanjang berada di sini berbanding mangsa yang peramah dan selalu berbual dengan kami," katanya.

Mangsa yang dipercayai berusia 30-an dikatakan sudah tiga tahun berpindah dari rumah berkenaan dan merupakan seorang yang peramah dan baik.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan masih dijalankan.