KUALA LUMPUR - Semua syarikat pemberi pinjam wang (PPW) atau kini dikenali sebagai syarikat Kredit Komuniti yang berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dikehendaki menukar papan tanda mengikut logo baharu yang ditetapkan pada tahun hadapan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, kebanyakan syarikat tersebut masih belum menukar papan tanda dengan alasan hanya akan berbuat demikian selepas proses memperbaharui lesen syarikat masing-masing dilakukan.
"Kita faham ada di antara syarikat yang menunggu lesen mereka 'mati' baru nak tukar papan tanda, selepas memperbaharui lesen syarikat, jadi sebab itu ada yang lewat.
"Justeru, selepas kita teliti bermula 2020, mereka kena terus tukar dan tidak perlu lagi menunggu sehingga tarikh memperbaharui lesen, baru nak berbuat demikian," katanya kepada pemberita di kejohanan bola sepak Piala Zuraida Kamaruddin di padang bola Tasik Tambahan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini berhubung daripada lebih 4,000 syarikat Kredit Komuniti yang berdaftar dengan KPKT, hanya 11 yang telah menukar papan tanda seperti diarahkan.
Pada April lepas, semua 4,115 PPW yang berdaftar diberi tempoh tiga bulan untuk menukar papan tanda mengikut logo baharu yang ditetapkan, antaranya bertujuan membezakannya dengan syarikat tidak berdaftar bagi mengelak pengguna terpedaya.
Mengulas dakwaan terdapat syarikat Kredit Komuniti yang mengenakan kadar faedah yang tinggi, beliau berkata, sekiranya aduan itu benar, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat terbabit.
"Setakat ini belum ada laporan, tetapi jika ada, kita akan siasat," katanya.
Dalam perkembangan lain Zuraida berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dijangka mengadakan perbincangan berhubung proses mengambil alih tanah bagi cadangan pembangunan semula kondominium Highland Towers pada 8 Januari hadapan.
"Saya telah berbincang dengan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) pada Isnin lepas dan ia akan dibawa ke MTES untuk diluluskan," katanya.
Sementara itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, padang bola Tasik Tambahan yang berusia kira-kira 20 tahun, akan dinaik taraf dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tempat duduk berbumbung untuk penonton.
Secara tidak langsung katanya, ia dapat meningkatkan imej bandar itu menjadi sebuah bandar raya pada masa hadapan. - Bernama